
Bercakap kepada FMT, Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata perluasan bagi barangan itu perlu dipertimbangkan kerajaan susulan penjimatan daripada subsidi bersasar antaranya bagi bahan bakar diesel pada Jun tahun lalu.
Keberkesanan itu meningkatkan jumlah penerima program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 5.4 juta mulai bulan ini berbanding 700,000 sebelumnya selain peningkatan bantuan kepada RM2,100 setahun berbanding RM1,200 bagi isi rumah penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan e-kasih.
Razman berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan sistem dua harga seperti dirancang bagi subsidi bersasar RON95 yang dijangka dilaksana berperingkat bermula pertengahan tahun.

“Ada yang layak beli pada harga rendah (subsidi) menerusi langkah itu.
“Kaedah itu dapat mengurangkan banyak ketirisan dan memastikan hanya yang layak mendapat subsidi,” katanya mencadangkan kaedah itu disokong dengan penggunaan MyKad.
Sementara itu, Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata penjimatan besar menerusi subsidi bersasar menjadikan kedudukan kerajaan kini lebih baik melanjutkannya kepada barangan menerima bantuan pukal seperti minyak masak.

“Subsidi pukal untuknya tidak menguntungkan kerana seperti bahan api, minyak masak juga disalah guna oleh segmen industri selain penyeludupan ke negara jiran sehingga menyebabkan berlakunya ketirisan,” kata ahli akademik dari Universiti Kuala Lumpur itu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, pada Januari lalu dipetik berkata kerajaan membelanjakan RM1.945 bilion untuk program skim penstabilan harga minyak masak sepanjang 2024.
Namun, perbelanjaan untuk mengeluarkan 60,000 tan sebulan minyak masak peket berharga RM2.50 sekilogram dipersoal kerana turut dinikmati warga asing yang penjualannya terbongkar menerusi operasi berterusan KPDN.
Lantaran itu, wujud cadangan supaya subsidi minyak masak digantikan dengan sistem pindahan tunai bagi menyalurkan subsidi kepada kumpulan layak berdasarkan penggunaan bulanan.