1 kertas siasatan dibuka berkait kes buli di MRSM

1 kertas siasatan dibuka berkait kes buli di MRSM

Polis menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi boleh mengganggu siasatan.

Ketua Polis Seberang Perai Selatan Jay January Siowou berkata semua individu terbabit dalam video tular itu akan dikesan untuk dirakam keterangan.
PETALING JAYA:
Satu kertas siasatan dibuka berhubung klip video insiden buli di sebuah bilik dipercayai asrama yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Seberang Perai Selatan (SPS) Jay January Siowou berkata pihaknya akan mengambil tindakan proaktif dengan mengesan lokasi institusi itu dan semua individu terbabit dalam video berkenaan untuk dirakam keterangan.

“Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dengan mengambil kira semua aspek sebelum dirujuk kepada pihak pendakwa raya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi boleh mengganggu siasatan serta meminta kerjasama individu mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan.

Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Hotline Polis SPS di talian 04-5858222, IPK Pulau Pinang 04-2221522 atau balai polis berdekatan.

Semalam, tular satu klip video satu minit 32 saat menunjukkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap atas katil, selain turut disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung.

Susulan itu, polis semalam mengesahkan video tular itu ialah kejadian buli membabitkan beberapa pelajar di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di SPS, Pulau Pinang pada pertengahan tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis SPS Mohd Norazmi Abd Ghapar dilaporkan berkata hasil siasatan awal tujuh pelajar termasuk mangsa dikenal pasti terbabit dalam video itu.

Katanya ia dipercayai berlaku akibat ejek-mengejek antara pelajar dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata pelajar disyaki pembuli di asrama MRSM itu sudah digantung persekolahan supaya tidak mengganggu siasatan, selain memberi mesej jelas pihaknya tidak berkompromi dalam isu buli.

Katanya Mara akan mengambil tindakan tegas termasuk membuang pelajar terbabit daripada institusi itu jika didapati terbabit aktiviti buli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.