
Wan Muhammad Wan Ali, 37, yang bertugas di Bahagian Risikan IPK Kuala Lumpur, berkata beg itu ditemukan di bawah kerusi penumpang hadapan, manakala ketulan mampat disyaki ganja ditemui bawah kerusi belakang semasa pemeriksaan lanjut di IPK.
“Pada 6 Sept 2024, kira-kira 9.25 pagi, saya bersama pasukan telah menahan seorang lelaki Melayu yang berdiri di pintu pemandu sebuah kenderaan jenis Nissan Teana berwarna biru gelap dalam keadaan mencurigakan berhampiran Kondominium Senada Kiara.
“Saya memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dengan menunjukkan kad kuasa, dan meminta lelaki tersebut menunjukkan dokumen pengenalan diri. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Muhammed Yusoff Rawther,” katanya.
Wan Muhammad merupakan saksi pendakwaan pertama dalam perbicaraan kes pengedaran dadah dan pemilikan senjata tiruan dihadapi tertuduh, yang juga merupakan bekas pembantu penyelidik kepada seorang ahli politik.
Menurut Wan Muhammad, sekitar 5 pagi hari sama, pihaknya menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali yang memaklumkan terdapat senjata dalam sebuah kenderaan serta memberikan lokasi kenderaan tersebut.
“Pemanggil tidak memperkenalkan diri, tetapi bertutur dalam bahasa Melayu. Bangsa pemanggil juga tidak dapat dikenal pasti,” katanya sambil menambah beliau bersama pasukan serbuan telah ke lokasi dimaksudkan dan menemukan kenderaan itu di parkir tepi jalan.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman mengenai reaksi tertuduh apabila senjata dijumpai, Wan Muhammad berkata: “Seingat saya, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi.”
Beliau turut memaklumkan bahawa Yusoff enggan menandatangani borang bongkar yang digunakan sebagai bukti rampasan barangan.
Dalam keterangan lanjut, Wan Muhammad menolak cadangan peguam tertuduh, Muhammad Rafique Rashid Ali, bahawa anak guamnya telah diperangkap. Beliau juga menafikan panggilan telefon diterima pada 5 pagi itu dibuat atas arahan pihak atasan untuk memerangkap tertuduh.
Menurutnya sepanjang tiga tahun bertugas sebagai inspektor risikan (D9), beliau sentiasa mengambil serius setiap laporan diterima dan akan menyusun perancangan serta keperluan logistik sebelum menjalankan sebarang operasi.
Yusoff didakwa mengedar 305g ganja kira-kira 10.15 pagi di hadapan tempat letak kereta surau IPK KL, pada 6 Sept 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Beliau juga didakwa memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara pada pukul 9.25 pagi hari sama, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun, denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Perbicaraan di hadapan Hakim Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.