
Kesatuan Pekerja-pekerja Perusahaan Letrik (KPPPL) berkata, AS merupakan antara destinasi ekport terbesar Malaysia bagi sektor E&E, dengan jumlah eksport mencapai RM161.3 bilion pada 2023.
Katanya, pelaksanaan tarif baharu ini dijangka menjejaskan permintaan terhadap produk buatan dari Malaysia, sekali gus membawa risiko pembatalan pesanan, pengurangan pengeluaran, dan kemungkinan penyusutan operasi.
Kesatuan berkata, beberapa pengeluar dalam sektor berkaitan telah menyatakan kebimbangan mereka terhadap implikasi tarif tersebut, antara isu memburukkan keadaan termasuk pasaran eksport yang semakin tepu, selain tekanan kos operasi.
Katanya, dua syarikat di bawah naungan kesatuan telah mengumumkan penutupan operasi menjelang akhir tahun ini, melibatkan hampir 2,000 pekerja majoritinya berusia 45 tahun ke atas, menambahkan lagi tekanan terhadap pasaran pekerjaan sedia ada.
“KPPPL menggesa kerajaan Malaysia untuk segera mengadakan rundingan diplomatik bersama AS bagi memohon pertimbangan pengecualian atau pelepasan tarif ke atas produk dari Malaysia.
“KPPPL juga menggesa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan industri (Miti) agar mengambil pendirian tegas terhadap isu ini di platform perdagangan antarabangsa serta memperkukuh perlindungan kepada industri strategik negara,” kata Setiausaha Agung Zaimi Muhamad Yusof dalam kenyatan.
Awal hari ini, Menteri Miti Tengku Zafrul Aziz berkata, purata tarif sebenar ke atas import AS hampir 5.6%, bukan 47% seperti didakwa Washington.
Beliau berkata, beberapa pihak berkepentingan percaya masih terlalu awal untuk menilai sepenuhnya kesan tarif itu menjelang pelaksanaannya 9 April.