Rayuan akhir Sanjeevan saman kerajaan kerana tahanan salah ditolak

Rayuan akhir Sanjeevan saman kerajaan kerana tahanan salah ditolak

Mahkamah Persekutuan memutuskan penahanan itu sah kerana mengikut waran dikeluarkan majistret.

R Sri Sanjeevan
Mahkamah Persekutuan turut mengarahkan R Sri Sanjeevan membayar RM50,000 sebagai kos guaman. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menolak rayuan bekas aktivis antijenayah R Sri Sanjeevan yang telah menyaman kerajaan dan polis untuk ganti rugi bagi penahanannya secara salah di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Harmindar Singh Dhaliwal, Abdul Karim Abdul Jalil dan Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara memutuskan bahawa Pegawai Penyiasat Poonnam E Keling tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk penahanan secara salah itu.

Panel itu juga berpendapat bahawa ketua polis negara dan kerajaan tidak boleh dipertanggungjawabkan secara wakil sekiranya tiada liabiliti di pihak yang didakwa melakukan tortfeasor utama.

Vazeer ketika membaca keputusan mahkamah berkata penahanan Sanjeevan adalah mengikut waran tahanan majistret dan bukan tanpa perintah kehakiman yang sah.

Beliau berkata Poonam hanya melaksanakan perintah kehakiman yang dikeluarkan oleh majistret.

Vazeer berkata permohonan habeas corpus Sanjeevan untuk pembebasannya daripada tahanan dibenarkan atas faktor teknikal – bahawa tempat tahanan yang disenaraikan dalam waran itu bukanlah kemudahan tahanan yang diwartakan, dan kesilapan ini tidak boleh dikaitkan dengan Poonam.

Panel itu mengarahkan Sanjeevan membayar RM50,000 sebagai kos guaman.

Vazeer juga berkata seorang tahanan yang berjaya memperoleh habeas corpus masih perlu memfailkan tindakan tort berasingan untuk ganti rugi atau pampasan, sambil menambah bahawa permohonan habeas corpus yang berjaya tidak akan menjadi asas secara automatik untuk tindakan sivil bagi tuntutan ganti rugi.

Sanjevaan, 40, menyaman Poonnam, ketua polis negara dan kerajaan selepas mendakwa ditahan secara salah oleh Poonnam dari 10 hingga 26 Julai 2016.

Bekas pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) itu mendakwa beliau turut diserang, dan menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk.

Pada 28 Jun 2022 Mahkamah Tinggi membenarkan saman Sanjeevan bagi penahanan secara salah dan mengarahkan ganti rugi dibayar kepadanya, namun Mahkamah Rayuan kemudiannya membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas membenarkan rayuan oleh polis dan kerajaan, pada Sept 2023.

Sanjeevan ditahan pada 10 Julai 2016 mengikut di bawah Poca kerana didakwa terbabit aktiviti jenayah dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada hari berikutnya yang mengeluarkan perintah reman selama 21 hari.

Sebelum tamat reman, Sanjeevan memfailkan permohonan habeas corpus atau penahanan salah supaya dibebaskan daripada tahanan.

Beliau dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya pada 26 Julai 2016 disebabkan terdapat pelanggaran prosedur mandatori di bawah Poca, dan kerajaan seterusnya memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan, tetapi kemudian menarik balik rayuan itu.

Sanjeevan pula memfailkan tindakan sivil terhadap polis dan kerajaan kerana pemenjaraan secara salah.

Dalam prosiding hari ini, peguam S Preakas, Satchitanandan Vedha Ratnam dan Komal Vijay Sheth mewakili Sanjeevan, manakala peguam kanan persekutuan Mohammad Al-Saifi Hashim, Nur Ezdiani Roleb, Liew Horng Bin dan Mohd Zain Ibrahim mewakili polis dan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.