
Beliau berkata, ramai terpengaruh dengan naratif di media sosial membabitkan dua isu itu sehingga wujud persepsi seolah-olah “perang” akan berlaku.
“Soal kuil perang, soal belon perang…padahal boleh kita atasi dengan baik.
“Jakel kena beli…Hindu kita bagi (tanah) percuma, tak betul…bukan semudah itu. Jangan dengar orang tabur benci kerana sesetengah orang, dia bebal dan tidak fikir kepentingan umum.
“Semuanya mahu dipolitikkan dan mahu dihukum. Bila tak setuju kita semuanya (jadi) kafir dan munafik, semuanya jahat,” katanya pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini.
Bulan lalu, kerajaan menyelesaikan isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di tanah milik pembekal tekstil, Jakel Trading Sdn Bhd di Jalan Munshi Abdullah yang merancang membina Masjid Madani.
Pada 25 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengumumkan kuil Hindu berusia 130 tahun itu akan dipindahkan 50m dari lokasi semasanya.
Jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman telah bersetuju dengan pemindahan kuil itu ke lokasi baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi, sama dengan saiz kuil sedia ada.
Sehubungan itu, Anwar berharap orang ramai memahami keputusan kerajaan menyelesaikan isu berkenaan secara aman, beradab dan berakhlak dalam suasana masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
Beliau turut mendedahkan ada pihak menasihatkannya menangguhkan majlis pecah tanah dan tidak menamakan masjid yang dibangunkan Jakel itu sebagai Masjid Madani.
“Ramai kawan nasihat saya tangguhkan, jangan panggil Masjid Madani, nanti orang marah…nanti undi tak dapat…bila sebut undi tak dapat itu bimbang juga, tetapi keputusan kita mestilah berdasarkan prinsip.”
Katanya, beliau yang mengetuai pentadbiran Putrajaya ketika ini tidak akan mengkhianati amanah dan komited menyelesaikan pelbagai isu secara baik.
“Bagi saya, setelah harungi liku-liku hidup yang pancaroba, simpang-siur dan getir, saya ada tekad untuk melakukan sebaiknya mengangkat negara ini menjadi hebat dan cemerlang. itu memang kedegilan saya.”