
PETALING JAYA: Seorang pegawai polis direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan RM10,000 daripada keluarga mangsa rogol.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret Kota Bharu terhadap lelaki berusia 30-an berkenaan.
Pegawai polis itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Dia ditahan SPRM Kelantan di pejabatnya dekat Jeli petang semalam kerana disyaki meminta wang daripada pengadu sebagai imbuhan menutup kes rogol membabitkan anak perempuan mangsa beberapa bulan lalu.
Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain, ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan tangkapan itu dan suspek direman tiga hari hingga Rabu ini.