
Di Johor, jumlah mangsa banjir merekodkan peningkatan dengan seramai 334 orang daripada 110 keluarga berbanding 285 orang daripada 94 keluarga pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Azmi Rohani berkata mereka adalah dari Kampung Baharu, Kampung Parit Bengkok, Kampung Parit Kaspan, Kampung Parit Samion, Kampung Parit Haji Salleh Ros, Kampung Parit Sri Muar, Kampung Sri Pandan dan Kampung Parit Samijan.
“Semua mangsa yang terjejas di Batu Pahat ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) SMK Seri Gading,” katanya.
Di Sabah, jumlah mangsa banjir di Kinabatangan yang berlindung di PPS SK Bukit Garam meningkat kepada 147 orang melibatkan 31 keluarga daripada 138 mangsa daripada 30 keluarga pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan mangsa terdiri daripada 39 lelaki dewasa, 38 wanita serta 70 kanak-kanak daripada empat kampung.
Pada 2 April, Kinabatangan yang terletak kira-kira 306km timur dari Kota Kinabalu diisytiharkan sebagai kawasan bencana berikutan hujan berterusan dan kenaikan paras sungai ke tahap bahaya.