
Naib pengerusi DAP berkata, langkah itu menunjukkan parti tidak melihat kepada bangsa dan agama untuk diberi peluang memainkan peranan bersesuaian.
“Walaupun kurang daripada 10% perwakilan atau ahli Melayu tetapi tetap perwakilan dalam kongres baru ini memberi peluang kepada kami berdua untuk memimpin atau termasuk dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat.
“Ini menunjukkan sebenarnya perwakilan kita memang tidak melihat kepada bangsa dan agama. Mereka melihat apa kesesuaian…adakah seseorang calon itu boleh membawa parti ke persada lebih tinggi,” katanya dalam sidang media bersama Ahli Parlimen Bentong yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Young Syefura Othman.
Dalam Kongres Kebangsaan DAP 16 Mac lalu, Syahredzan dan Syefura terpilih menganggotai CEC manakala empat lagi calon Melayu gagal mendapat tempat.
Pada pemilihan sebelum ini, Syefura satu-satunya wakil Melayu menang dalam pemilihan CEC, manakala Syahredzan pula dilantik menganggotai jawatankuasa itu.
Sementara itu, Syahredzan berkata sebagai anggota CEC beliau dan Syefura akan terus berusaha mendekati orang Melayu serta menguatkan sokongan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik dan agama.
Katanya, dalam beberapa tahun kebelakangan ini semakin ramai anak muda termasuk Melayu dan golongan wanita menunjukkan minat terhadap DAP.
“Usaha untuk menggalakkan penyertaan baharu termasuk dalam kalangan orang Melayu akan terus diperkasakan selagi mana mereka mendukung prinsip dan perjuangan parti.
“Kami percaya kalau nak masuk parti (DAP)…kena betul-betul faham perjuangan, dan hayati perjuangan parti. Jadi, apa yang kami nak lakukan adalah memperkenalkan parti kepada anak muda, termasuklah anak muda Melayu,” katanya.