
R Rajagopal berkata, pada 15 Mei 2018, beliau bersama ketua polis negara ketika itu, Fuzi Harun dan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Amar Singh, pergi ke Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya untuk bertemu dengan perdana menteri yang baharu dilantik itu.
“Saya pergi bersama Fuzi dan Amar untuk memberi taklimat kepada Tun Mahathir menggunakan pembentangan PowerPoint di Yayasan Kepimpinan Perdana, hanya lima hari selepas beliau menjadi perdana menteri.
“Saya mengetengahkan bahawa berdasarkan siasatan, hasil daripada 1MDB telah masuk ke dalam akaun Najib. Beliau (Mahathir) berkata: “Kamu perlu lengkapkan siasatan dengan bukti”.
“Selepas itu, kami rujuk perkara itu kepada Jabatan Peguam Negara dan saya telah memfailkan laporan (pengubahan wang haram) bagi memulakan siasatan,” katanya ketika sesi soal balas.
Ketika pemeriksaan semula, peguam Najib, Shafee Abdullah, cuba mendapatkan lebih banyak maklumat daripada Rajagopal berhubung apa yang berlaku dalam pertemuan tersebut.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Akram Gharib membantah, menyatakan bahawa perkara itu adalah ‘bersifat skandal’ dan ‘akan membuka isu baharu sepenuhnya’. Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa Mahathir bukan seorang saksi dalam perbicaraan itu.
Namun, Shafee bertegas bahawa beliau berhak meneruskan soalan, kerana ia penting bagi membuktikan Najib tidak pernah campur tangan dalam siasatan 1MDB ketika menjadi perdana menteri.
“Relevannya ialah saya akan menunjukkan bahawa Najib tidak pernah sekali pun menghubungi beliau (Rajagopal) untuk mengarahkan atau mengawal siasatan,” kata Shafee.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan Shafee meneruskan soalan, tetapi mengingatkan supaya soalannya tidak meleret.
Shafee: Kamu nyatakan selepas Mahathir naik jadi perdana menteri, beliau panggil anda ke Yayasan Kepimpinan Perdana, maksudnya ketika itu beliau belum masuk Pejabat Perdana Menteri lagi, tetapi sudah memanggil untuk taklimat 1MDB?
Rajagopal: Ya.
Shafee: Apa yang berlaku dalam mesyuarat itu?
Rajagopal: Kami hanya beri taklimat apa yang telah kami lakukan. Beliau berkata jika perlu lebih banyak bukti, teruskan dan lengkapkan siasatan.
Shafee: Apa tujuan Mahathir panggil polis pada hari itu?
Rajagopal: Beliau mahu tahu apa dapatan siasatan 1MDB.
Shafee: Ada dakwaan mengatakan polis ‘berlembut’ sebelum 2018, sebab itu siasatan hanya tertumpu kepada pengurusan (1MDB). Adakah Mahathir tanya kenapa siasatan tak bergerak cepat?
Rajagopal: Saya tidak ingat.
Shafee: Ada cadangan sama ada seseorang akan didakwa atau tidak?
Rajagopal: Tidak. Saya hanya bentangkan transaksi, kesalahan dan individu yang terlibat.
Shafee: Anda dilantik semula dalam pasukan petugas. Adakah mereka menghukum anda kerana tidak menyiasat dengan betul?
Rajagopal: Tidak. Jika beliau (Mahathir) tidak berpuas hati, saya sudah pasti diganti.
Terdahulu, Rajagopal yang bersara dua tahun lalu, memberi keterangan bahawa berdasarkan siasatan polis, bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan ketua pegawai kewangan Azmi Tahir tidak mendapat manfaat daripada mana-mana transaksi syarikat itu selain daripada gaji dan bonus mereka.
“Pasukan petugas turut berhubung dengan pihak berkuasa luar negara. Kami tidak memperoleh sebarang maklumat yang menunjukkan mereka mendapat manfaat daripada transaksi tersebut,” kata bekas pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman itu.
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berkaitan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan bersambung esok.