
Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan berkata, beberapa pengguna termasuk di zon tengah iaitu Shah Alam, Klang, Serdang, Puchong, Batu Tiga dan Kapar mula menerima notis sekatan daripada pembekal masing-masing hingga 20 April.
Katanya, bekalan gas masih ada namun dalam kuantiti terhad dan keutamaan diberikan kepada perkhidmatan kritikal seperti hospital dan penjanaan elektrik, serta keperluan untuk menstabilkan tekanan paip gas.
“Insiden ini telah menyebabkan berlaku gangguan bekalan gas kepada empat stesen jana kuasa utama yang berada di Lembah Klang iaitu Stesen Jana Kuasa (SJ) Connaught Bridge, SJ Pulau Indah, SJ Sultan Salahuddin Abdul Aziz (KEV) dan SJ Putrajaya,” katanya.
Kebakaran saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lalu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30m dengan suhu mencecah 1,000 darjah celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Setakat kelmarin, sebanyak 509 keluarga mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) dan jumlah tersebut dijangka bertambah memandangkan terdapat segelintir berada di luar kawasan semasa kejadian pada Aidilfitri kedua itu.
Dalam pada itu, ST memberi jaminan bekalan elektrik di Semenanjung dalam keadaan stabil dengan beberapa langkah mitigasi telah dan akan diambil, antaranya pengoperasian secara optimum stesen jana kuasa sedia ada termasuk penjanaan berasaskan arang batu.
“Langkah-langkah mitigasi interim sedang diteliti secara berterusan. Pihak ST juga akan menganjurkan sesi libat urus dengan pengguna-pengguna yang terjejas dalam tempoh terdekat ini,” katanya.