
Salleh Said Keruak berpendapat BN-PH sebagai tunjang utama kerajaan perpaduan di persekutuan tidak wajar berpisah di negeri itu memandangkan kerjasamanya demi perpaduan, kestabilan dan pembangunan bukan politiking tiada kesudahan.
Bendahari BN Sabah itu berkata gabungan berkenaan bukan bersifat eksklusif dan terbuka dengan parti tempatan mempunyai aspirasi sama yang menuntut keikhlasan dan kesediaan bekerjasama.
“Sebarang pakatan perlu ambil kira agihan kerusi adil dan saksama, dasar bersama termasuk menghormati autonomi Sabah serta akomodasi (penyesuaian) politik berasaskan saling menghormati — bukan dominasi atau sikap ‘abang besar’.
“Setelah prinsip-prinsip ini dipersetujui, semua pihak mesti bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan. Ini bukan perjuangan peribadi — tetapi komitmen bersama demi masa depan Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Adun Usukan itu mengulas kemungkinan kerjasama BN pada PRN Sabah yang akan diadakan tahun ini.
Pada 3 Apr lalu, FMT melaporkan kenyataan Ketua BN Sabah Bung Moktar Radin yang komponen itu tidak akan bertanding solo pada PRN Sabah dan akan mengumumkan kerjasama dengan gabungan politik lain bila tiba masa.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan politik semasa iaitu parti bertanding solo tidak mampu memenangi pilihan raya untuk menerajui negeri.
Pada PRN Sabah 2020, BN menerusi Umno menang 14 kerusi daripada 73 DUN dan komponen itu menyasarkan bertanding sekurang-kurangnya 40 kerusi.