
Bercakap kepada pemberita, Chow juga berkata beliau akan mempengerusikan perbincangan meja bulat berkait tarif timbal balas itu pada Jumaat depan, menghimpunkan Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi Negeri, Penang Institute, pemimpin industri, dan wakil daripada pertubuhan industri.
“Saya yakin selepas meneliti semua maklum balas, kerajaan persekutuan akan bertindak sewajarnya (dan) akan berunding dengan AS,” katanya pada majlis sambutan Hari Raya di Jawi, dekat sini.
Chow turut mengambil maklum ada beberapa pakar meramal impak tarif dikenakan ke atas ekonomi Malaysia, termasuk Pulau Pinang, yang mungkin memberi kesan positif.
Katanya, ia kerana tarif dikenakan terhadap Malaysia lebih rendah berbanding negara tetangga di rantau ini, yang mana menjadi pesaing langsung kepada negara.
Cambodia dikenakan tarif tertinggi di Asean dengan 49%, diikuti Laos (48%), Vietnam (46%), Myanmar (45%), Thailand (37%), dan Indonesia (32%). Malaysia dan Brunei masing-masing dikenakan 24%, manakala Filipina dan Singapura masing-masing 18% dan 10%.
Meskipun begitu, Chow berkata, analisis sedemikian hanya pandangan awal dan menekankan keperluan memahami sepenuhnya implikasi tarif sebelum tindakan dilaksanakan.
“Kita masih berada pada peringkat awal dan kita kena bersabar membincangkan pendekatan terbaik.”
Dikenali sebagai “Lembah Silikon Timur”, Pulau Pinang menempatkan syarikat besar semikonduktor AS seperti Intel, Broadcom, dan Micron, baru-baru ini juga menarik firma China.
Pada Februari, Chow berkata asas ekonomi Pulau Pinang adalah ampuh, selepas ia dibina sejak lima dekad lalu sekali gus menjadikan negeri ini berada pada kedudukan kukuh mendepani apa jua dasar tarif Presiden AS Donald Trump.