Masih ada ruang runding dengan AS berkait tarif 24%, kata BNM

Masih ada ruang runding dengan AS berkait tarif 24%, kata BNM

Bank pusat masih menunggu perincian daripada AS mengenai tarif itu.

DATUK SERI SHAIK ABDUL RASHEED ABDUL GHAFFOUR
Gabenor Bank Negara Abdul Rasheed Ghaffour berkata kesan tarif terhadap inflasi hanya boleh dikenal pasti selepas rundingan dan perincian selesai. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia masih mempunyai ruang untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tindakan Washington yang mengenakan tarif timbal balik 24% ke atas barangan Malaysia, kata Gabenor Bank Negara (BNM) Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata, bank pusat itu juga masih menunggu perincian daripada AS mengenai tarif berkenaan.

Justeru, kesan tarif terhadap inflasi hanya boleh dikenal pasti selepas proses rundingan dan perincian tarif tersebut selesai.

“Masih ada ruang untuk rundingan dan juga tahap kita belum tahu lagi, bila dan bagaimana, daripada segi magnitud, bila ia (tarif) akan berkuat kuasa selain skop liputan dan produk yang akan terkesan daripada tarif berkenaan.

“Jadi kita perlu melihat kesan mendalam bagaimana (tarif) akan memberi kesan kepada inflasi negara kita. Pada masa ini kita kekal pada dua hingga 3.5%,” katanya kepada Bernama ketika menghadiri sesi lawatan persiapan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat Asean (AFMGM) ke-12.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesan pelaksanaan tarif tersebut terhadap jangkaan inflasi yang diunjurkan bank pusat.

Ketika ditanya sama ada industri semikonduktor yang dikecualikan daripada dikenakan tarif sebagai satu kelegaan kepada Malaysia, Rasheed bagaimanapun mengakuinya.

Presiden AS Donald Trump pada 3 April mengumumkan negaranya akan memperkenalkan tarif asas sebanyak 10% kepada semua negara dan duti yang lebih tinggi melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.