
Era FM dalam akaun Instagram, turut memuat naik gambar tiga personaliti berkenaan, Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani dengan poster tertera ‘Akan Kembali’.
“Akan kembali. ‘Lock the date’ (ingat tarikh itu), Isnin ini, 7 April 2025 6 pagi bersama geng 3PE (3 Pagi Era),” katanya dalam catatan itu.
Pada 4 Mac, Astro Audio menggantung tiga penyampai tersebut serta dua lagi kakitangan susulan kontroversi insiden rakaman video mempersenda tarian kavadi Hindu.
Nabil, Azad Jasmin, dan Radin ada memohon maaf atas video itu dan mengakui mereka tidak sensitif terutama kepada masyarakat India.
Video yang telah diturunkan dalam platform media sosial stesen itu, memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa.
Klip itu mengundang kritikan meluas dengan kebanyakan berupa penghinaan kepada tradisi Hindu iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.