
Walaupun Anwar berkata impak tarif ‘timbal balas’ 24% ke atas Malaysia mengundang ketidaktentuan, namun beliau yakin negara mampu mendepani impak ekonomi jika Asean teguh bersatu membantu satu sama lain.
“Saya secara peribadi telah berhubung dengan beberapa individu rapat dengan (Presiden AS Donald) Trump,” katanya pada sambutan Aidilfitri di Melaka.
“Dan semalam, menteri luar kita, Mohamad Hasan, menerima panggilan daripada Setiausaha Luar AS Marco Rubio bagi meneruskan rundingan.
“Setiap negara di dunia perlu tegas mempertahankan kepentingan mereka, namun masih ada ruang untuk rundingan.”
Anwar berkata, sepanjang semalam, beliau membincangkan tarif dikenakan dengan pemimpin Asean bagi mencapai kesepakatan, sambil menambah akan berhubung dengan pemimpin China, Jepun, dan Korea Selatan supaya tindakan dilakukan negara nampak rapi.
Menurut pentadbiran Trump, AS berhadapan dengan 47% halangan perdagangan dari Malaysia, di mana dakwaan itu dinafikan Putrajaya. Dalam perintah eksekutif ditandatangani Trump pada Rabu, Malaysia dikenakan tarif timbal balik 24%, berkuat kuasa 9 April.
Kemboja (49%) paling tinggi dikenakan tarif, diikuti Laos (48%), Vietnam (46%), Myanmar (45%), Thailand (37%), Indonesia (32%), Brunei (24%), Filipina (18%), dan Singapura (10%).
“Kekuatan Asean harus kuat, tetapi tidak boleh gopoh dalam tindakan kerana belum ada kepastian secara terperinci di mana tindakan itu, setakat mana, apa yang memberikan kelepasan dan kelonggaran, dan apakah mungkin kita teruskan sedikit sebanyak rundingan lagi dengan Amerika Syarikat supaya dapat mengurangkan tekanan,” kata Anwar.
“Tetapi Malaysia sahaja, atau Thailand sahaja, Indonesia sahaja tidak akan cukup kuat sekiranya kita tidak rangkul seluruh kekuatan Asean sebagai kekuatan ekonomi untuk berunding dengan semangat kesepakatan itu.
“Saya yakin, insya-Allah, kita akan dapat mengharungi sama-sama. Tetapi dengan kebijaksanaan, dengan kesabaran.”