Polis terima 3 repot pempengaruh didakwa kelirukan isu lagu Negaraku

Polis terima 3 repot pempengaruh didakwa kelirukan isu lagu Negaraku

Video papar kanak-kanak sebuah sekolah di Teluk Intan menyanyikan lagu kebesaran negeri diikuti komen pempengaruh politik yang mencetuskan kontroversi.

Ketua Polis Hilir Perak Bakri Zainal Abidin berkata siasatan awal mendapati video tular itu dirakam pada 6 Jun 2024 semasa majlis pelancaran Kelab Tarian Naga di sekolah tersebut. (Gambar Bernama)
IPOH:
Polis menerima tiga laporan berhubung penyebaran video ditularkan oleh pempengaruh politik yang mendakwa lagu ‘Negaraku’ dinyanyikan bukan dalam bahasa kebangsaan di sebuah sekolah dalam daerah Hilir Perak.

Ketua Polis Hilir Perak, Bakri Zainal Abidin, berkata video berdurasi tiga minit 40 saat itu memaparkan sekumpulan kanak-kanak dari sebuah sekolah di Teluk Intan menyanyikan lagu kebesaran negeri Perak diikuti dengan komen daripada seorang pempengaruh politik yang mencetuskan kontroversi.

“Pempengaruh politik tersebut mempertikaikan bahawa lagu Negaraku telah dinyanyikan dalam bahasa selain daripada bahasa Malaysia dan mendakwa video tersebut telah melanggar protokol lagu kebangsaan.

“Pempengaruh politik itu turut memetik Seksyen 2 Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang melarang sebarang perubahan lirik atau menyanyi lagu kebangsaan dalam bahasa lain,” katanya dalam kenyataan.

Bakri berkata, hasil siasatan awal mendapati video tular itu dirakam pada 6 Jun 2024 semasa majlis pelancaran Kelab Tarian Naga di sekolah tersebut.

Katanya, lagu dinyanyikan kanak-kanak itu bukan lagu kebangsaan sebaliknya adalah lagu kebesaran negeri Perak.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis ingin menegaskan kepada orang ramai agar berhenti menyebarkan berita palsu yang boleh menggugat keharmonian negara.

“Tindakan menyebarkan maklumat tidak sahih boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang termasuk denda atau penjara. Oleh itu, adalah penting untuk menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi demi kebaikan bersama dan kestabilan negara,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa video di media sosial termasuk TikTok menunjukkan rakaman nyanyian lagu di sebuah sekolah yang didakwa dinyanyikan dalam bahasa Cina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.