Nahas Menora: Pemandu gilis wanita hamil tampil beri keterangan

Nahas Menora: Pemandu gilis wanita hamil tampil beri keterangan

Tular kereta berwarna merah menggilis mangsa terbaring dalam nahas maut dekat Terowong Menora.

Tangkap layar video menunjukkan sebuah kereta berwarna merah menggilis mangsa Nur Fatihah Badrul Hisyam yang hamil lapan bulan.
PETALING JAYA:
Pemandu kereta berwarna merah yang tular menggilis wanita hamil dalam nahas maut di KM264 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora, Ipoh, Ahad lalu tampil beri keterangan.

Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata keterangan itu dirakam di IPD Ipoh, semalam.

“Keterangan telah dirakam dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menilai keterlibatan kenderaan tersebut dalam kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata pemandu kereta jenis Perodua Bezza, yang juga suami mangsa, dimaklumkan masih trauma susulan kejadian.

“Lelaki itu menghadapi kesukaran memberi keterangan kerana terdapat 15 jahitan di dalam mulut. Dia masih tinggal bersama keluarganya di Tanjung Malim.”

Abang Zainal Abidin berkata, ahli keluarga mangsa juga telah membuat laporan polis pada 10.42 malam semalam berkaitan kehilangan barang kemas milik mangsa dan kes berkenaan kini dalam siasatan.

“Polis mengesahkan siasatan sedang dijalankan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pelbagai sudut termasuk laporan forensik, keterangan saksi dan rakaman kamera papan pemuka sedang dianalisis untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian,” katanya.

Dalam nahas itu, Nur Fatihah Badrul Hisyam, 25, yang hamil lapan bulan dan anaknya berusia dua tahun meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka terbabas.

Anaknya itu maut di lokasi, manakala Nur Fatihah disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Video tular dalam media sosial mengundang kecaman apabila timbul dakwaan pemandu kereta merah itu tidak berhenti membantu mangsa, sebaliknya meneruskan perjalanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.