MB Selangor nafi lindungi pemaju, kerja korek tanah

MB Selangor nafi lindungi pemaju, kerja korek tanah

Amirudin Shari berkata kenyataan pada hari pertama susulan kejadian itu disalah erti.

01 Amirudin Shari FB PIC 050425
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam sidang media hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menepis dakwaan cuba melindungi pemaju tertentu dengan menafikan wujud kerja mengorek tanah berhampiran lokasi kebakaran paip gas di Putra Heights.

Katanya, tidak timbul soal beliau cuba menafikan ada aktiviti itu sebagaimana dipertikai segelintir pihak di media sosial.

“Sebaliknya, saya minta bantuan orang awam salurkan maklumat dan kita kena siasat terlebih dahulu di mana jengkaut itu,” katanya dalam sidang media.

Amirudin berkata, kenyataannya pada hari pertama susulan kejadian itu atas niat tidak mahu membuat kesimpulan sembarangan dan mengganggu siasatan namun disalah erti pihak tertentu.

“Saya lihat serangan ini bertabur-tabur sekarang dan akan berterusan sampai hari Kiamat. Pastinya pasukan penyiasat akan bertindak secara telus berdasarkan data dan fakta tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

“Beri masa selengkapnya untuk siasatan dilakukan. Kita perlu semak betul-betul bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin gesa sesiapa yang mempunyai bukti dan maklumat berkenaan apa jua salah laku berkaitan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, mengesahkan terdapat aktiviti mengorek tanah berhampiran lokasi kebakaran pada 30 Mac, dua hari sebelum kejadian berlaku.

Katanya, bagaimanapun pihaknya belum dapat menentukan sama ada kebakaran paip gas itu berpunca daripada kerja pengorekan tanah itu kerana perlu menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam sidang media sama Amirudin berkata akan ada aktiviti mengalihkan aliran air bertakung di tapak letupan mulai esok.

Katanya, sehingga hari ini 509 keluarga dikenal pasti mendaftarkan diri di pusat pemindahan sementara dan pendaftaran akan ditutup tengah hari esok bagi tujuan penyelarasan data dan maklumat.

“Selain itu, kita akan ada kategori baharu bagi sumbangan kerajaan, iaitu rumah rosak sepenuhnya (RM5,000) dan rumah terkesan serta penyewa (RM2,500) setelah mengambil kira ada rumah-rumah sewa di kediaman terbabit.

“Sumbangan akan mula diagihkan Isnin ini,” katanya.

Beliau juga berkata, penduduk dari 130 unit rumah dibenarkan pulang setakat hari ini dan kawalan kemasukan akan diperketat dengan perlu memaklumkan pegawai di lapangan mahupun diiringi bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.