
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada jumlah itu, 24 pesakit dirawat di fasiliti KKM termasuk seorang mangsa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang manakala 18 pesakit dirawat di hospital swasta.
Menurut KKM, seorang lelaki berumur 65 tahun masih dirawat di ICU setelah mengalami 6% ‘partial thickness burn, chemical pneumonitis with type II respiratory failure’.
“Terdapat 14 pesakit di Hospital Putrajaya termasuk seorang di Jabatan Kecemasan, masing-masing empat pesakit di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang dan Hospital Kuala Lumpur manakala masing-masing satu pesakit di Hospital Ampang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang,” menurut data harian dikeluarkan KKM.
KKM memaklumkan tiada sebarang kematian dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi.
Menurut kementerian, aktiviti perkhidmatan sokongan kesihatan minda dan psikososial (MHPSS) turut dijalankan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia serta di Hospital Putrajaya (HPj) dengan 172 individu menerima intervensi MHPSS.