Jangan tuding jari, biar pihak berkuasa siasat, kata mangsa

Jangan tuding jari, biar pihak berkuasa siasat, kata mangsa

Beberapa mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights minta orang luar tidak buat spekulasi.

Taman Puchong
Kejadian Selasa lalu mengakibatkan 235 rumah terjejas dengan 87 musnah sepenuhnya manakala 148 lagi rosak. (Gambar Bernama)
SUBANG JAYA:
Beberapa mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights meminta semua pihak termasuk orang awam tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu.

Hamdan Mohamad, 54, dari Kampung Kuala Sungai Baru, berkata sebaiknya ruang harus diberikan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian pada 1 April lalu.

Hamdan Mohamad.

“Jika orang awam mempunyai bukti, serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

“Begitu lebih baik daripada membuat spekulasi sendiri yang boleh mengeruhkan lagi keadaan,” katanya kepada FMT.

Baharudin Yusoh, 66, pula berkata orang ramai tidak perlu terlalu bertumpu kepada spekulasi atau maklumat tidak disahkan tepat sebaliknya memberi fokus membantu mangsa.

Dia juga berharap pihak berkuasa melakukan siasatan secara telus dan terperinci untuk mencari punca sebenar kejadian tanpa melindungi mana-mana pihak.

Baharudin Yusoh.

“Pihak yang menjadi penyebab harus bertanggungjawab sepenuhnya.

“Akibat kecuaian mereka, ramai mangsa hilang harta-benda sehingga menjadi gelandangan,” katanya yang juga dari Kampung Kuala Sungai Baru.

Khamis lalu, Menteri Besar, Selangor Amirudin Shari, menegaskan ‘ini bukan masa untuk berdebat’ apabila beliau menolak cadangan mengadakan sidang khas DUN bagi membincangkan kejadian itu.

Amirudin berkata, siasatan perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Dalam kejadian itu, kebakaran membabitkan 500m paip gas menyebabkan 111 cedera yang kebanyakannya melecur dan mengalami masalah pernafasan.

Sebanyak 235 rumah terjejas dengan 87 musnah sepenuhnya manakala 148 lagi rosak.

Kebakaran itu turut memusnahkan 225 kenderaan dan merosakkan 174 yang lain.

Ia juga menyebabkan kawah sedalam 10m terbentuk, selain merosakkan rumah serta harta-benda dalam radius 500m dari lokasi kebakaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.