
Menurut Maria Chin Abdullah, tidak adil untuk membuat kesimpulan awal berkait kejadian itu ketika siasatan masih dijalankan.
“Dalam waktu krisis, tumpuan harus diberikan kepada mereka yang terkesan. Paling penting jaga kebajikan mangsa.
“Kita perlu pastikan mangsa boleh kembali kepada kehidupan normal, yang amat penting untuk mereka,” katanya kepada FMT.
Maria, yang pernah menjadi Ahli Parlimen Petaling Jaya selama satu penggal mengulas isu tuding-menuding yang timbul berikutan insiden kebakaran di Putra Heights yang mengakibatkan kerosakan ke atas lebih seratus rumah dan kenderaan.
Beliau bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Khamis lalu bahawa ‘ini bukan masa untuk berdebat’ apabila beliau menolak cadangan mengadakan sidang khas DUN bagi membincangkan kejadian itu.
Amirudin berkata siasatan perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Maria menyokong pendirian Amirudin, sambil menambah menteri besar itu sedang berusaha sebaik mungkin menangani situasi terbabit.
“Pada masa ini, elakkan daripada membuat kenyataan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan siasatan dijalankan pasukan bebas dan dapatannya diumumkan kepada orang awam bersama cadangan penyelesaian bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Maria turut menggesa kerajaan memberi perhatian untuk sokongan emosi khususnya kepada wanita dan kanak-kanak yang melalui pengalaman trauma susulan insiden itu.
Dalam kejadian 1 April lalu, kebakaran membabitkan 500 meter paip gas menyebabkan 111 cedera yang kebanyakkannya melecur dan mengalami masalah pernafasan.
Sebanyak 235 rumah terjejas dengan 87 musnah sepenuhnya manakala 148 lagi rosak.
Kebakaran itu turut memusnahkan 225 kenderaan dan merosakkan 174 yang lain.