
BCF berkata, sumbangan RM3,000 kepada setiap isi rumah diharap meringankan beban kewangan mangsa.
Pengerusi BCF Vincent Tan menyerahkan sumbangan tersebut kepada wakil keluarga di pekarangan stesen LRT Putra Heights. Hadir sama, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han, dan Adun Kota Kemuning S Preakas.
“Sumbangan ini mencerminkan komitmen kami menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan membantu pemulihan,” kata Tan dalam kenyataan.
“Dengan semangat kebaikan dan perpaduan, kami menggalakkan lebih banyak syarikat dan individu tampil menyumbang dan membantu mangsa sedang bergelut dalam kesusahan.”
Dalam kebakaran mengambil masa lapan jam untuk dipadamkan, menyambar bahagian saluran paip gas sepanjang 500m, mengakibatkan 111 cedera, kebanyakan melecur dan mengalami masalah pernafasan.
Sejumlah 235 premis terjejas, dengan 87 kediaman musnah sepenuhnya, dan tidak lagi selamat didiami, manakala 148 lagi boleh diduduki selepas pembaikan.
Sebanyak 399 kenderaan turut terkesan, dengan 225 terbakar dan 174 mengalami kerosakan.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata pemilik rumah yang kediamannya musnah akan menerima RM5,000, manakala rumah yang terjejas akan menerima RM2,500.
Kerajaan akan membincangkan langkah bantuan selanjutnya apabila Jemaah Menteri bersidang pada mesyuarat mingguan pada Rabu ini.