
Beliau berkata, pada masa ini penduduk kurang terjejas sedang memberi fokus kepada pemeriksaan pendawaian serta tahap keselamatan di kediaman masing-masing, sejak 9.30 pagi tadi.
“Kita serahkan siasatan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu, kita uruskan kemasukan penduduk secara berfasa bagi tujuan pemeriksaan keselamatan.
“Tindakan undang-undang masih awal, yang penting isu kebajikan terlebih dahulu,” katanya menurut Bernama di pos kawalan tempat kejadian (PKTK), Subang Jaya.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Putra Harmoni Peter Lau meminta agensi penguatkuasaan melibatkan persatuan penduduk pada setiap mesyuarat diadakan.
“Kami perlukan informasi untuk disampaikan kepada penduduk, mereka kurang informasi dan disebabkan ini mereka terganggu serta risau. Saya harap pihak berkuasa bekerjasama dengan persatuan penduduk kerana kami ada semua data penduduk termasuk haiwan peliharaan mereka.
“Kami juga sedia membantu mana-mana penduduk yang mempunyai sebarang masalah,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan pemilik 115 kediaman yang kurang terjejas akibat insiden itu dibenarkan masuk ke rumah mereka secara berfasa bermula hari ini.
Pegawai Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed dilaporkan berkata, fasa pertama membabitkan 41 pemilik rumah di Jalan 1/3A, yang dibenarkan masuk bermula 9.30 pagi bagi pemeriksaan pendawaian sebelum bekalan elektrik dikembalikan.
Setakat semalam, 364 mangsa daripada 74 keluarga terbabit dalam kebakaran itu ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Masjid Putra Heights dan Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya Camelia.