Tarif AS akan jejas eksport utama, kata persatuan pengilang

Tarif AS akan jejas eksport utama, kata persatuan pengilang

FMM kata kadar 24% sekiranya dikenakan sepenuhnya ke atas sarungan tangan, plastik, barangan elektrik dan elektronik boleh mengurangkan eksport.

pekerja kilang
FMM kata tarif timbal balik yang dikenakan AS boleh memberi tekanan kepada pekerjaan dan memaksa pengeluar tempatan dan syarikat multinasional berkaitan AS menyesuaikan rantaian bekalan masing-masing. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) memberi amaran bahawa eksport utama seperti sarung tangan, plastik, barangan elektrik dan elektronik akan terjejas teruk oleh tarif timbal balik 24% yang akan dikenakan Amerika Syarikat (AS).

Presiden Soh Thian Lai berkata kadar 24% itu sekiranya dikenakan sepenuhnya ke atas produk-produk berkenaan boleh mengurangkan eksport, memberi tekanan kepada pekerjaan, dan memaksa pengeluar tempatan dan syarikat multinasional berkaitan AS yang berpangkalan di Malaysia menyesuaikan rantaian bekalan masing-masing.

“Ekosistem yang lebih luas, termasuk pembekal, penyedia logistik dan sektor perkhidmatan hiliran, juga boleh terjejas teruk oleh peralihan dalam keputusan mengenai penyumberan dan pembuatan akibat daripada tarif,” menurut kenyataan.

AS mengenakan tarif timbal balik 24% ke atas import dari Malaysia berkuat kuasa 9 April.

Presiden AS Donald Trump kata tambahan tarif ad valorem ke atas import dari rakan dagangan akan bermula pada kadar 10% dari Sabtu dan akan ditingkatkan tidak lama selepas kadar ditetapkan bagi setiap negara.

Perintah eksekutif Trump turut menyenaraikan import yang dikecualikan daripada tarif timbal balik tersebut termasuk tembaga, emas, kayu balak dan farmaseutikal.

Menyusuli pengumuman itu, Soh menggesa kerajaan elak mengenakan sebarang beban cukai tambahan tahun ini, memandangkan keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

“Sektor pembuatan sudah berada ditekan kos yang teruk dan merupakan penyumbang terbesar kepada hasil cukai negara, iaitu RM221 bilion atau 68.6% daripada jumlah kutipan cukai.

“Peluasan cukai jualan dan perkhidmatan, berkuat kuasa Mei ini, bersama dengan kenaikan tarif elektrik pada Julai, akan meningkatkan pematuhan dan kos operasi dengan ketara bagi pengilang peringkat pertengahan dan besar, serta perusahaan kecil dan sederhana yang rentan,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.