Sarawak nafi dakwaan pesakit tunggu 20 jam di pusat jantung

Sarawak nafi dakwaan pesakit tunggu 20 jam di pusat jantung

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak turut menafikan pesakit hanya menerima rawatan perubatan selepas catatan di media sosial tular, memetik rekod perubatan rasmi.

Sarawak heart centre
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak berkata kes itu membabitkan seorang pesakit dirujuk ke Pusat Jantung Sarawak oleh sebuah hospital swasta pada 28 Mac lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menafikan dakwaan seorang Adun DAP bahawa seorang pesakit di Pusat Jantung Sarawak terpaksa menunggu selama 20 jam untuk berjumpa pakar kardiologi.

Jabatan itu turut menafikan pesakit menerima rawatan perubatan hanya selepas catatan di media sosial tular, menepis dakwaan tiada pakar jantung bertugas ketika itu.

Menurutnya, kes itu membabitkan seorang pesakit yang dirujuk ke Pusat Jantung Sarawak oleh sebuah hospital swasta pada 28 Mac lalu.

“Rekod perubatan rasmi mengesahkan pesakit tiba di Jabatan Kecemasan Pusat Jantung Sarawak pada 1 pagi 29 Mac lalu dan dinilai pegawai perubatan kecemasan pada 1.10 pagi.

“Kes itu kemudian dirujuk kepada pegawai perubatan kardiologi, yang merawat seorang lagi pesakit kritikal. Pada 4.33 pagi, selepas berunding dengan pakar kardiologi ‘on-call’, pesakit dimasukkan ke wad khas untuk rawatan lanjut,” katanya menurut Dayak Daily.

Ia berkata, pesakit itu dinilai semula pakar, pegawai perubatan kardiologi dan sepasukan jururawat semasa pusingan rutin wad pada 9.30 pagi.

Jabatan itu berkata, pusingan itu diadakan setiap hari, sama ada cuti umum atau hari biasa.

Pada 29 Mac lalu, Adun Pending, Violet Yong memuat naik tangkap layar aduan seorang wanita mendakwa suaminya terpaksa menunggu hampir 20 jam di hospital “tanpa pakar kardiologi”.

Wanita itu mendakwa doktor di Jabatan Kecemasan memaklumkan mereka perlu menunggu sehingga Rabu untuk berjumpa pakar jantung memandangkan hari itu hujung minggu dan cuti Aidilfitri jatuh pada Isnin dan Selasa.

“(Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak) Dr Sim Kui Hian, kenapa (tiada) pakar kardiologi di Pusat Jantung Sarawak? Bagaimana pusat jantung boleh beroperasi tanpa pakar kardiologi hampir 20 jam?” soal Yong dalam catatan Facebooknya.

Kemudian, setiausaha organisasi DAP Sarawak itu dalam catatan lain mendakwa “sekumpulan doktor” merawat pesakit itu “selepas aduan melalui pelbagai saluran”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.