
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan tarif baharu itu sebagai ‘tamparan hebat’ kepada ekonomi dunia dan negara, dengan Malaysia ‘tidak terkecuali terkesan secara signifikan’.
“Kesan langsung daripada kenaikan tarif ini Salah pengurangan daya saing produk Malaysia di pasaran AS, kehilangan kontrak eksport, pengecilan operasi industri, dan peningkatan risiko pengangguran pekerja tempatan.
“Dalam jangka masa sederhana, ini akan menjejaskan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara serta melemahkan nilai ringgit secara berterusan seperti yang sedang berlaku kini,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga harus menyediakan sokongan fiskal buat industri paling terkesan dengan pelaksanaan tarif baharu ini, seperti elektrik dan elektronik (E&E), perabot dan produk kayu, serta tekstil dan pakaian, yang menurutnya sektor eksport utama Malaysia.
Dilaporkan hari ini Trump menandatangani perintah eksekutif mengenakan tarif timbal balik terhadap 49 negara, berkuat kuasa 9 April. Selain Malaysia, negara lain terkesan termasuk Kemboja (49%); Laos (48%); Myanmar (45%); Thailand (37%); Indonesia (32%); Brunei (24%); dan Filipina (18%).
Trump berkata, duti ad valorem tambahan ke atas import daripada rakan dagangan akan bermula pada 10% mulai Sabtu, dan meningkat sejurus selepas itu kepada kadar yang ditetapkan bagi negara masing-masing.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, dalam menghadapi ketidaktentuan geoekonomi global ekoran perubahan landskap kuasa dunia, kerajaan Malaysia perlu lebih cermat dalam mempertahankan dan memperkasakan lagi entiti geoeokonomi negara, khususnya institusi seperti Petronas.
Katanya, saban tahun, Petronas memainkan peranan sebagai ‘ayam tambatan’ dalam melicinkan operasi, membuka lebih banyak ruang dan peluang perdagangan di luar negara.
“…Kerjasama ekonomi yang dipacu oleh Petronas ini kadang kala berupaya memberi manfaat langsung yang mana kesannya melangkaui dan tidak terhad semata-mata kepada sektor minyak dan gas,” katanya.
“Oleh itu kerajaan mesti hentikan sebarang bentuk campur tangan politik yang berlebihan terhadap Petronas. Autonomi penuh wajar diberikan kepada Petronas untuk melaksanakan perancangan pelaburan dan peluasan peranannya di dalam dan luar negara.”
Beliau menegaskan, Petronas bukan sekadar syarikat minyak, tetapi ‘lambang kekuatan daya saing Malaysia di pentas antarabangsa.
“Melemahkan Petronas bermakna melemahkan posisi tawar Malaysia di meja rundingan global, khususnya dalam kerjasama dua hala dengan negara rakan dagang lain,” kata Wan Ahmad Fayhsal yang juga ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Bersatu.
Beliau turut menyifatkan cadangan penubuhan Pusat Kawalan Geoekonomi Kebangsaan (NGCC) setakat ini hanyalah ‘bersifat kosmetik dan tidak ditampilkan strategi yang ampuh dalam mengawal selia risiko yang realistik terhadap perubahan geopolitik global.
Bulan lepas, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata, Malaysia mahu lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan atau kesan daripada situasi geoekonomi global semasa dengan menubuhkan NGCC.