Peragut samun rantai emas budak 12 tahun

Peragut samun rantai emas budak 12 tahun

Lelaki itu berpura-pura ingin dapatkan bekalan air sebelum ragut rantai emas dianggar lebih RM5,000.

tarik rambut
Kanak-kanak perempuan cedera di dagu dalam kejadian samun di pangsapuri di Putrajaya.
PETALING JAYA:
Kanak-kanak perempuan 12 tahun cedera di dagu susulan rantai emas dipakai diragut, dalam kejadian di kediamannya di sebuah pangsapuri di Presint 11, Putrajaya.

Timbalan Ketua Polis Putrajaya Azari Miskon, berkata dalam insiden pada 9.46 pagi semalam, mangsa berada dalam rumah didatangi seorang lelaki yang mengetuk pintu dan menanyakan sama ada terdapat bekalan air atau tidak.

Beliau berkata, lelaki itu kemudiannya meminta mangsa menyambungkan paip getah ke paip bilik air dan mengisi air dalam sebuah tong air.

“Semasa mangsa cuba serahkan tong air kepada suspek, dia bertindak menarik rambut mangsa dan meragut rantai emas di leher kanak-kanak itu,” katanya dalam kenyataan.

Azari berkata, kejadian itu disaksikan secara langsung oleh bapa mangsa, yang bekerja sebagai pegawai penyelidik yang ketika itu berada di pejabatnya di Kuala Lumpur, menerusi aplikasi kamera litar tertutup (CCTV) di telefon bimbit.

Rakaman itu turut mendapati lelaki tersebut memakai jaket berwarna hijau, berseluar dan bertopi hitam, serta memakai penutup mulut.

Azari berkata, nilai kerugian sebanyak RM5,530 dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.