Penuh abu, lauk raya pertama masih atas meja, kata mangsa

Penuh abu, lauk raya pertama masih atas meja, kata mangsa

Mangsa saluran paip gas terbakar, Sarah Amira Ahmad Idris berkata keluarganya belum bersedia secara mental kembali ke rumah.

Penduduk meninjau keadaan kediaman mereka selepas insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, pada Selasa lalu. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Kediaman penuh abu dengan rumah berselerak menyebabkan ada keluarga belum bersedia secara mental untuk kembali menetap selepas insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, pada Selasa.

Bukan itu sahaja, lauk raya pada Hari Raya pertama masih berada di atas meja, kerana mangsa tergesa-gesa terpaksa meninggalkan rumah.

Mangsa, Sarah Amira Ahmad Idris, 28, berkata beliau mewakili keluarganya untuk memantau keadaan rumah mereka di Jalan 1/3B selepas dimaklumkan bekalan elektrik akan disambung semula hari ini.

Beliau berkata, kediaman keluarganya tidak mengalami kerosakan serius, namun bahagian luar dipenuhi abu manakala dalam rumah pula berselerak.

“Perasaan masa mula-mula masuk rumah memang pening sebab bau kan, lauk raya pertama memang ada lagi atas meja tambah lagi dengan makanan dalam peti ais yang tiada elektrik sejak dua hari lepas.

“Kami memang beli banyak barang mentah sebab nak buat rumah terbuka hujung minggu ini, tetapi semua hasrat itu sudah tiada,” katanya menurut Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sarah Amira berkata, dengan infrastruktur yang sudah hancur dan jalan masuk dikawal ketat, bapanya memutuskan untuk terus tinggal di rumah sewa abangnya di USJ1, Subang Jaya buat sementara waktu.

Seorang lagi penduduk terkesan, Dr Haslina Rusdi, 52, berkata beliau sekeluarga turut memilih untuk tidak pulang ke rumah ketika ini.

“Saya sepatutnya sudah mula bekerja esok, tetapi disebabkan kejadian ini, belum fikir lagi macam mana. Masa kejadian memang keluar sehelai sepinggang bersama dua anak dan tiga kucing selepas saya dengar gegaran di pintu depan dan belakang rumah kira-kira 8.08 pagi.

“Kami sempat memandu keluar dari kawasan perumahan pada 8.15 pagi selepas anak saya yang berada di tingkat atas menjerit ada api yang sangat tinggi tidak jauh dari rumah,” katanya yang juga seorang doktor perubatan.

Haslina berkata, beliau merupakan antara penduduk dijadualkan masuk ke kawasan rumah dalam fasa ketiga dan kini sedang menunggu giliran menaiki trak polis untuk tujuan itu.

Terdahulu, Pegawai Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed berkata sekiranya pendawaian 115 buah rumah yang terjejas berada dalam keadaan baik, bekalan elektrik akan disambung semula.

Beliau turut memaklumkan bahawa hanya kediaman yang disahkan selamat melalui pemeriksaan inventori akan dibenarkan untuk diduduki semula oleh pemiliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.