
Gobi Krishna Sinniah, pensyarah kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, kerajaan perlu mengkaji semula kawasan berisiko tinggi dan mewartakan rizab utiliti sebagai kawasan risiko utama negara.
“Meskipun letupan jarang berlaku di kawasan perumahan dan komersial, ia kekal ancaman berisiko tinggi yang memerlukan tindakan segera pihak berkaitan, termasuk kerajaan.
“Kawasan pembangunan berdekatan koridor atau jajaran gas ini sudah tentu memberi kesan kepada orang ramai. Sepatutnya, kawasan perumahan atau pembangunan padat ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi dan langkah pencegahan awal juga perlu dikaji semula,” katanya kepada Bernama.
Beliau mendapati kebakaran sedemikian pernah berlaku di Malaysia, contohnya di Kawasan Perindustrian Kerteh, Terengganu tahun lalu, loji penapisan minyak di Pengerang, Johor (2022) dan loji penapisan minyak di Port Dickson, Negeri Sembilan (2020), tetapi kes itu tidak membabitkan kawasan pembangunan pesat.
Beliau menyarankan kerajaan membangunkan zon penampan lebih berkesan yang menggabungkan elemen semula jadi seperti sungai dan hutan.
“Ada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menetapkan jarak zon penampan pada 40 kaki (12m), ada pula yang lebih atau kurang.
“Perkara ini perlu diperhalusi dengan lebih terperinci bagi memastikan zon penampan di kawasan utiliti diperluaskan.”
Sementara itu, Presiden Institut Jurutera Malaysia, Jeffrey Chiang, berkata kerajaan dan PBT perlu meningkatkan kesedaran serta latihan dalam kalangan pemaju, jurutera dan kontraktor, khasnya dalam penggunaan teknologi pemetaan digital serta sistem maklumat geografi bagi mengenal pasti serta melindungi kawasan rizab utiliti.
“PBT juga perlu memastikan setiap permohonan pembangunan atau kerja korekan berhampiran utiliti menjalani kajian impak keselamatan menyeluruh sebelum diluluskan,” katanya sambil menambah audit keselamatan di tapak pembinaan juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan pematuhan garis panduan keselamatan.