Kedah mungkin larang bela anjing spesies garang

Kedah mungkin larang bela anjing spesies garang

Cadangan itu susulan insiden lima individu diserang dua anjing Rottweiler di Baling pada Selasa lepas.

Exco Kedah Mansor Zakaria berkata garis panduan itu dirangka untuk mengelakkan kes serangan anjing seperti yang berlaku di Baling pada Selasa lalu berulang kembali. (Gambar Envato Elements)
ALOR SETAR:
Kerajaan Kedah akan merangka garis panduan yang berkemungkinan besar melibatkan larangan membela anjing daripada spesies garang sebagai haiwan peliharaan di kawasan perumahan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mansor Zakaria berkata keputusan itu diambil berikutan insiden lima individu diserang dua anjing jenis Rottweiler di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil dekat Baling pada Selasa lepas.

“Anjing jenis garang tidak sesuai dibela di kawasan taman perumahan. Lebih-lebih lagi, selepas dua kes yang berlaku, kejadian baru-baru ini sangat serius kerana melibatkan lima mangsa, termasuk beberapa yang parah dan memerlukan pembedahan.

“Ada mangsa yang trauma akibat kejadian ini. Mereka berharap kes ini dapat diselesaikan sebaik mungkin, dan kerana itu, kita akan merangka garis panduan untuk mengelakkan perkara seperti ini berulang,” katanya dalam kenyataan.

Mansor yang melawat semua mangsa di hospital kerajaan dan swasta berkata keadaan mereka kini dilaporkan stabil.

Mansor berkata hasil perbincangan dengan pemilik anjing terbabit, mereka bersetuju untuk menyerahkan haiwan itu kepada pihak veterinar untuk dilupuskan.

Sebelum ini, Bernama melaporkan lima individu cedera selepas digigit dua anjing terbabit yang terlepas dari sangkar.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah Shaharul Amar Talib berkata dua anjing terlibat dilupuskan semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.