
Dalam tragedi pada Selasa lalu, Zainuddin Abdul Halim, 60, dan lapan ahli keluarga turut mengalami lecur akibat bahang melampau.
Kemeriahan keluarga pesara itu bersama anak, menantu, dan cucu meraikan hari pertama Aidilfitri dikongsikan @emxakmxr menerusi video TikTok, yang turut memaparkan keadaan kawasan rumah itu selepas musnah dijilat api dalam kebakaran di Putra Heights, pada raya kedua.
Video berdurasi 17 saat dikongsikan sejak semalam telah mendapat 1.9 juta tontonan dan dikongsikan 9,684 pengguna, setakat 8.45 malam ini.
Ketika ditemui di lobi Hospital Sultan Idris Shah Serdang, Zainuddin yang tidak dapat menahan sebak apabila menonton kembali video itu, berkata mereka sekeluarga juga terpaksa melupakan hasrat menunaikan umrah pada Rabu depan susulan kejadian menimpa.
Berkongsi pengalaman pada hari kejadian, Zainuddin berkata dia baru sahaja pulang dari bersarapan bersama-sama dengan rakannya di warung berdekatan rumahnya.
“Saya sempat beli sarapan untuk isteri, tiga anak, dua menantu, seorang cucu dan mak mentua…kemudian saya masuk ke bilik berborak dengan isteri dan merancang untuk pulang ke kampung di Rembau.
“Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi letupan dan rumah bergegar, kedengaran bunyi seolah-olah jet terhempas dan kami berasa sangat panas dalam rumah. Ketika menjenguk ke luar rumah, kami nampak langit berwarna merah dan saya menjerit meminta semua ahli keluarga keluar dan lari menyelamatkan diri,” katanya menurut Bernama.
Zainuddin berkata, dia sudah dibenarkan keluar dari wad semalam, manakala semua ahli keluarganya selamat dan kini menumpang di rumah anak perempuannya di Seksyen 10, Shah Alam.
Namun, katanya anak lelakinya perlu menjalani pembedahan di Hospital Putrajaya kerana tapak kakinya melecur akibat berkaki ayam ketika lari menyelamatkan diri.
“Kami belum balik ke rumah untuk melihat keadaan kerana semua (ahli keluarga) dimasukkan ke hospital, namun kami sangat berharap agar kerajaan dapatlah membuat sesuatu untuk kebajikan kami dan mangsa yang lain sementara kami menetap di rumah sanak saudara.
“(Insiden) ini ternyata bukanlah salah kami dan kami juga mahukan pembelaan daripada pihak sewajarnya,” katanya.