Denda trafik ikut pendapatan tak adil, dikhuatiri wujud ketidaksamaan sosial, kata pakar

Denda trafik ikut pendapatan tak adil, dikhuatiri wujud ketidaksamaan sosial, kata pakar

Wan Agyl Wan Hassan berkata, lebih wajar kerajaan kuat kuasa lebih tegas peraturan dan tambah baik sistem Kejara.

traffic jammed
Tingkah laku pemandu mengekori kenderaan lain terlalu dekat sering diamalkan pada musim perayaan.
PETALING JAYA:
Seorang pakar pengangkutan berpendapat langkah mengenakan denda trafik setara dengan tahap pendapatan pelaku boleh memupuk ketidaksamaan sosial.

Wan Agyl Wan Hassan bersetuju amalan berbahaya mengekori kenderaan terlalu dekat harus dibendung, tetapi katanya, cadangan mengaitkan denda dengan pendapatan pelaku akan mewujudkan dwistandard dan persepsi wujudnya layanan tidak sama rata.

Katanya, golongan yang didenda lebih tinggi akan berasa mereka disasarkan secara tidak adil, menimbulkan rasa sakit hati. Dalam jangka panjang, langkah itu juga mungkin menggalakkan amalan rasuah, tambahnya.

“Penguatkuasaan berat sebelah merosakkan. Ian menjejaskan keadilan, menghakis kepercayaan orang ramai dan melemahkan pematuhan undang-undang. Malah, tindakan itu akan dilihat bercanggah kerana Perlembagaan memperuntukkan hak setiap rakyat sama rata di sisi undang-undang,” katanya kepada FMT.

Wan Agyl, pengasas badan pemikir pengangkutan My Mobility Vision berkata, negara mempunyai undang-undang mencukupi bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk sistem demerit Kejara untuk menghukum kesalahan.

“Denda mengikut pendapatan mungkin dengarnya adil dari segi teori, tetapi tidak akan menyelesaikan isu sebenar. Masalah kita bukannya kuantum denda, tetapi kelemahan penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Wan Agyl berkata demikian sebagai respons terhadap Wong Shaw Voon, pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) agar Malaysia mencontohi Finland yang mengenakan denda mengikut tahap pendapatan pesalah dan keseriusan kesalahan.

Negara Scandinavia itu juga tegas berhubung penggantungan lesen dan kursus keselamatan jalan raya mandatori untuk pesalah berulang.

Sebaliknya, hukuman bagi kesalahan trafik di Malaysia ditetapkan oleh undang-undang. Menurut Akta Pengangkutan Jalan 1987, tindakan mengekori kenderaan terlalu dekat boleh dianggap ‘memandu secara melulu dan berbahaya’, dan pelaku boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan didenda antara RM5,000 dan RM15,000 bagi kesalahan pertama.

Wan Agyl berkata, denda mengikut pendapatan boleh dilaksanakan di Finland kerana negara Eropah itu mempunyai sistem pendapatan yang telus dan kepercayaan tinggi terhadap institusi mereka.’

“Di Malaysia tidak begitu,” katanya menambah, lebih munasabah kita mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada dan sistem Kejara.

Katanya, pihak berkuasa boleh menawarkan pelbagai pilihan kepada pesalah seperti hadapi tuduhan di mahkamah atau bayar kompaun dan sama ada terima mata demerit atau hadiri sesi latihan semula keselamatan jalan raya sebagai ganti mata.

Wan Agyl berkata, denda mengikut pendapatan tidak wajar kerana mengekori kenderaan terlalu dekat bukan jenayah yang perlu. Katanya, pelaku bertindak sedemikian memandu secara melulu dan tidak bertanggungjawab, bukannya terdorong melakukan kesalahan itu disebabkan status sosioekonomi mereka.

Beliau juga berkata, kepercayaan terhadap penguatkuasaan jalan raya perlu diterap semula dengan memastikan keadilan dan akauntabiliti, bukannya mewujudkan sistem dua peringkat.

“Undang-undang yang adil menyatukan masyarakat. Matlamatnya ialah penguatkuasaan undang-undang yang konsisten terhadap semua orang, bukan menghukum segelintir (pesalah) dengan lebih berat kerana pendapatan mereka lebih tinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.