CIDB tarik balik kenyataan siasatan awal kebakaran paip gas

CIDB tarik balik kenyataan siasatan awal kebakaran paip gas

Dalam kenyataan terbaharu, CIDB menjelaskan pihaknya tidak mahu mendahului proses siasatan yang masih berjalan.

Massive gas pipeline fire
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia memberi jaminan akan membantu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berkait insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memohon maaf dan menarik semula kenyataan media yang dikeluarkan agensi itu petang semalam berkaitan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.

CIDB dalam kenyataan terbaharu menjelaskan keputusan itu dibuat kerana tidak mahu mendahului proses siasatan yang masih berjalan dan membabitkan banyak pihak berkuasa.

Menurut agensi itu, sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan industri pembinaan negara, CIDB memberi jaminan akan membantu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa terlibat.

“CIDB ingin memohon maaf atas sebarang kekeliruan atau kebimbangan yang tercetus akibat kenyataan tersebut terutamanya kepada penduduk yang terkesan.

“Kami memahami kesulitan yang dihadapi dan berusaha memastikan perkara ini ditangani dengan penuh integriti dan ketelusan. Kami komited untuk memastikan setiap aspek kes ini diteliti secara menyeluruh dan adil,” kata kenyataan itu.

CIDB dalam kenyataan awalnya mendedahkan siasatan awal mendapati tiada aktiviti pembinaan dilakukan di kawasan itu pada tarikh berlakunya insiden letupan.

CIDB juga menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu pematuhan terhadap standard keselamatan serta peraturan industri pembinaan dan sebarang pelanggaran peraturan atau ketidakpatuhan, tindakan sewajarnya akan diambil tanpa sebarang pengecualian.

“Komitmen kami adalah untuk memastikan industri pembinaan negara beroperasi mengikut piawaian tertinggi demi keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan semua pihak,” menurut kenyataan itu.

Insiden kebakaran besar yang berlaku pada 8.10 pagi Selasa itu meninggalkan kesan yang ketara dengan membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki melibatkan keluasan kira-kira 70×80 kaki.

Kebakaran itu turut mengakibatkan api menjulang tinggi, selain menghasilkan bahang panas serta debu yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda termasuk kenderaan dalam radius 500m dari lokasi kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.