
Wong Jun Wei, 26, dan Jasper Yap En Wai, 20, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass, lapor Bernama.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Tan Kai Lun, 26, dan Wong Chee Fun, 34, bagi tujuan eksploitasi kerja di Yatai, Shwekokko, Myanmar antara 15 Dis 2024 hingga 14 Feb lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom 2007) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Othman Affan Ismail dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.
Mahkamah yang tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kemudiannya menetapkan 7 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.