Tiada kerja pembinaan di tapak dikaitkan warganet pada 1 April, menurut siasatan awal

Tiada kerja pembinaan di tapak dikaitkan warganet pada 1 April, menurut siasatan awal

CIDB kata laporan daripada kontraktor tunjuk tiada kerja pembinaan sedang berlaku di tapak kedai pejabat yang dikaitkan dengan letupan di Putra Heights.

Massive gas pipeline fire in Malaysia
CIDB masih tunggu dokumen-dokumen lain dalam siasatan lanjut berkait letupan di Putra Heights. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Tiada sebarang kerja pembinaan berlaku di satu tapak yang dikaitkan dengan letupan paip gas di Putra Heights, menurut siasatan awal Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Agensi kawal selia industri pembinaan itu melaporkan tapak pembinaan 10 unit kedai pejabat dua tingkat, yang dikaitkan warganet dengan letupan semalam, terletak 30 meter daripada lokasi paip gas yang meletup.

Laporan yang CIDB terima daripada kontraktor menunjukkan hanya terdapat kerja-kerja pembentungan yang dilakukan di tapak tersebut pada pada 30 Mac, manakala kerja-kerja ‘housekeeping’ pula dilakukan pada 31 Mac.

“Laporan menunjukkan tiada sebarang kerja pembinaan yang sedang berlaku di tapak tersebut pada 1 Apr, semasa letupan gas berlaku,” kata CIDB dalam kenyataan.

CIDB peroleh maklumat daripada agensi dan kontraktor terlibat melalui pasukan penguatkuasaan yang berada di lokasi kejadian hari ini, diketuai pengarah CIDB Selangor.

“Kes masih dalam siasatan lanjut kerana CIDB masih menunggu dokumen-dokumen sokongan lain bagi mendapatkan klasifikasi insiden di bawah skop pematuhan Akta CIDB,” katanya.

Sementara itu, CIDB melaporkan bahawa pada 1 Apr, penolong pengurus projek kedai pejabat tersebut terima panggilan telefon daripada jurutera projek pada 8.32 pagi bahawa terdapat satu insiden letupan dan kebakaran berdekatan tapak bina tersebut.

Semasa kejadian, seorang pengawal warga tempatan dan seorang pekerja asing sedang berada di tapak tersebut.

“Kedua-dua mereka telah dikejarkan ke hospital akibat kecederaan yang diterima akibat insiden letupan tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.