
Sekumpulan 21 NGO berkata kebakaran itu mungkin membawa kepada pelepasan metana yang ketara maka dibimbangi boleh menimbulkan risiko kesihatan jangka pendek dan panjang.
“Metana boleh mengurangkan jumlah oksigen dalam persekitaran dan menyebabkan masalah kesihatan seperti pertuturan yang tidak jelas, gangguan penglihatan dan ingatan, loya, muntah, dan sakit kepala,” kata mereka.
Kumpulan itu berkata kajian di Amerika Syarikat mendapati kebocoran saluran paip gas boleh membawa kepada pelepasan bahan kimia ke atmosfera, termasuk PM2.5 dan PM10, sebatian organik meruap, ozon, dan nitrogen oksida.
“Bahan kimia berbahaya ini diketahui boleh menyebabkan kesan jangka panjang juga, termasuk penyakit pernafasan yang semakin teruk dan peningkatan kematian berkaitan pernafasan, kardiovaskular dan serebrovaskular.”
Kumpulan itu menggesa kerajaan memastikan siasatan berhubung kejadian itu telus, dan hasilnya diterbitkan kepada umum secara penuh.
Mereka juga meminta hasil pemantauan kualiti udara di kawasan kejadian dan pelepasan metana daripada kebakaran diterbitkan.
“Kami menyeru kerajaan dan Petronas menjalankan kajian bebas ke atas kesan kesihatan dan keselamatan jangka pendek dan jangka panjang yang berpotensi akibat kejadian itu, dengan piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai tanda aras.
“Kajian ini harus diterbitkan kepada umum, dan Petronas harus menyediakan liputan penjagaan kesihatan penuh bagi komuniti setempat dan ‘first responder’.”
Kenyataan disediakan oleh kumpulan alam sekitar iaitu RimbaWatch dan Greenpeace Malaysia, dan disokong oleh Sahabat Alam Malaysia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Pusat Komas dan Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme.
Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan ia membuat pemantauan di Kampung Kuala Sungai Baru, iaitu kawasan kediaman terdekat yang terjejas.
“Setakat ini stesen pengawasan kualiti udara masih di paras sederhana dan tidak mengesan sebarang keadaan bacaan indeks pencemar udara (IPU) yang abnormal susulan insiden ini,” menurut kenyataan.
JAS turut menjalankan pengawasan kualiti udara di Sekolah Kebangsaan Putra Heights 2, iaitu kawasan yang dikenalpasti penerima sensitif yang terletak lebih kurang 2km dari kawasan kejadian.
“Bacaan pemantauan sehingga 12.00 tengah hari, 2 April 2025 mendapati tiada sebarang gas toksik dikesan dan paras kualiti udara masih normal,” katanya.
Ketua Pengarah Wan Abdul Latiff Wan Jaffar melaporkan JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti pemantauan melalui darat dan udara dengan menggunakan dron serta memantau bacaan indeks pencemar udara IPU dari masa ke semasa.