
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin kata kenyataan-kenyataan yang agak berbeza berhubung kejadian boleh menyebabkan mangsa rasa terganggu.
Beliau mengambil contoh dakwaan-dakwaan mengenai pihak yang bertanggungjawab ke atas kebakaran itu.
“Kalau boleh buat secara senada supaya tidak ada perasaan yang mengganggu mereka yang menghadapi bencana,” katanya kepada pemberita selepas melawat penduduk yang terjejas di pusat pemindahan sementara (PPS).
Hamzah turut menarik perhatian kepada bantuan lanjut bagi penduduk yang menyaksikan kediaman mereka musnah.
“Kalau seseorang itu dia punya rumah terbakar sepenuhnya, dia kata dia kena duduk di sini (PPS) buat sementara. Apa yang kerajaan nak bantu?
“Dengar kata nak beri RM5,000. OK tapi apa lagi yang sepatutnya?” katanya.
Hamzah mencadangkan penubuhan suatu jawatankuasa untuk melihat keadaan mereka yang menghadapi kemalangan dan bencana ini, supaya boleh membantu mereka mendapatkan pampasan.
Kebakaran yang berlaku pagi semalam menyebabkan kawasan seluas 500m daripada paip gas itu terbakar, menjejaskan banyak rumah dan kenderaan.
Polis melaporkan seramai 529 mangsa berlindung di pusat pemindahan sementara dan 111 mangsa sedang menerima rawatan di hospital.
Dalam pada itu, sebanyak 235 premis termasuk rumah dan kedai terjejas dengan 87 unit musnah akibat kebakaran dan 48 mengalami kerosakan, manakala 399 unit kenderaan terkesan di mana 225 musnah terbakar manakala 174 mengalami kerosakan.