‘Jangan angkuh, maki hamun anak angkat saya’, tegas Sim

‘Jangan angkuh, maki hamun anak angkat saya’, tegas Sim

Steven Sim bidas seorang warganet dipercayai ahli sebuah parti yang memaki hamun anak angkatnya dan dakwa tiada bantuan diberi kepadanya selepas ditimpa kemalangan.

steven sim
Menteri Sumber Manusia Steven Sim anjur program ‘anak angkat YB’ untuk bantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Sumber Manusia Steven Sim membidas sikap angkuh seorang warganet dipercayai ahli sebuah parti yang memaki hamun anak angkatnya di media sosial.

Ketua DAP Pulau Pinang itu berkata beliau tidak kisah jika pembangkang ingin memaki hamun beliau dan sedia memaafkan perbuatan berkenaan.

“Tapi jangan angkuh lagi biadab nak maki fitnah anak angkat saya dan keluarganya!.

“Mereka orang susah, dah ditimpa musibah, berpolitik biar berpada-pada!,” katanya dalam hantaran di X.

Beliau merujuk penularan sebuah video di media sosial memaparkan seorang penyokong parti memaki hamun seorang remaja perempuan yang menjadi anak angkat Sim sejak September 2024.

Lelaki itu turut mendakwa Sim tidak menghulurkan bantuan kepada remaja terbabit yang ditimpa kemalangan sebaliknya dibantu Ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang menyumbangkan RM150.

Sementara itu, Rosly Yusof, pegawai Sim di Parlimen Bukit Mertajam menerusi Facebook berkata beliau telah melawat remaja perempuan terbabit sebaik dia ditimpa kemalangan.

Menurutnya, remaja itu juga menerima belanja sara hidup RM200 sebulan dalam program ‘Anak Angkat YB’ selain kebajikannya dijaga sepanjang pengajian di Melaka.

Untuk rekod, Sim pada tahun lalu telah memilih remaja perempuan itu sebagai anak angkatnya dan akan membantunya sehingga tamat pengajian.

Bantuan itu diberikan walaupun keluarga remaja itu tinggal di Parlimen Permatang Pauh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.