
Amirudin Shari berkata pihak berkuasa akan menjalankan siasatan terperinci berhubung punca sebenar yang menyebabkan kebocoran saluran gas serta letusan, “yang telah mengakibatkan kerosakan harta benda penduduk dengan skala sebegitu besar.”
Terdahulu, polis memberitahu pemberita bahawa ia terima maklumat tentang dakwaan berlakunya kerja korek tanah sehingga menyebabkan kebakaran.
“Kita akan siasat semua itu dan jika benar ada berlaku, kita nak tahu siapa yang melakukan kerja-kerja mengorek itu,” kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, lapor Bernama.
Beliau memaklumkan bomba dan Petronas akan melakukan pemeriksaan di kawasan-kawasan tertentu bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran berkenaan.
Sementara itu, Amirudin menggesa mangsa supaya mendaftarkan diri dengan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, bagi memastikan semua keluarga terkesan di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru dibantu.
Beliau melaporkan seramai 180 penduduk di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru telah didaftarkan oleh UPBN dan sedang berteduh di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.