Contengan anak Aris Ariwatan cetus tajuk lagu popular

Contengan anak Aris Ariwatan cetus tajuk lagu popular

Tajuk lagu 1,2,3,4 nyanyian Aris Ariwatan dicipta bersama Asmin Mudin terhasil beberapa jam sebelum sesi rakaman menerusi contengan anaknya.

Aris Ariwatan dedah rahsia lagu 1,2,3,4 yang malar segar dan diminati hingga kini.
PETALING JAYA:
“Satu, kasih nan abadi, tiada tandingi Dia yang satu. Dua, sayang berpanjangan, membawa ke syurga, kasihnya ibu”.

Itu bait indah dalam lirik lagu ‘1,2,3,4’ yang sarat dengan nilai kasih sayang dan kisah tauladan bagi menghargai insan bergelar ibu bapa, ciptaan penyanyi dan komposer Aris Ariwatan, 30 tahun lalu.

Namun ada rahsia didedahkan Aris atau nama sebenarnya Haris Fadzilah Daud bagaimana karya malar segar ciptaan bersama Asmin Mudin itu dihasilkan.

Berkongsi dengan FMT, pelantun lagu popular seperti ‘Lamunan Terhenti’ itu mendedahkan mereka sebenarnya belum memutuskan tajuk lagu terbabit apabila secara tiba-tiba ditawarkan slot untuk merakam lagu di King Studio, Petaling Jaya.

Menurutnya, bukan mudah mendapat slot rakaman lagu di studio itu yang sering digunakan syarikat gergasi yang menyebabkan perlu menunggu berbulan-bulan.

“Jurutera muzik King Studio beritahu ada slot kosong jam 9 malam dan dengan yakinnya saya tanda giliran. Lepas itu baru saya sedar, lagu itu belum siap…tiada judul dan lirik.

“Waktu itu ada lagi enam jam sebelum rakaman, saya panik. Anak conteng kertas kerja, kemudian saya marah dia dan isteri sebab biarkan anak.

“Bila saya tengok contengan itu, ada tulisan nombor 1,2,3,4. Saya dapat ilham dan siaplah lagu itu. Saya pergi dekat anak dan minta maaf sebab marah,” cerita bapa kepada enam cahaya mata itu.

Apabila karya itu dihasilkan, Aris telah menjangkakannya mempunyai peminat tersendiri kerana sarat dengan nasihat, bersifat kekeluargaan dan mudah dinyanyikan, walaupun syarikat rakaman yang akan mengedar albumnya pada awalnya tidak begitu yakin.

“Waktu itu semua judul lagu gempak-gempak, contoh Suci Dalam Debu, Fatamorgana dan lain-lain. Tapi judul lagu saya 1,2,3,4. Mereka suruh tukar, tapi saya berkeras,” cerita presiden Persatuan Pencipta, Pelaku dan Penerbit Muzik Malaysia (3PM) itu.

Aris mengakui lagu tersebut mempunyai nilai sentimental padanya kerana mengisahkan pengorbanan ibu bapa membesarkannya.

“Itu cerita betul, kami dulu miskin…bapa kerja polis dengan gaji RM110 sebulan. Setiap hari nak pergi sekolah, mak letak minyak kelapa dan sikat rambut saya.

“Sambil sikat dia nasihat supaya jangan nakal di sekolah. Bila tengah hari (minyak kelapa) itu meleleh di tepi dahi, itu yang lirik ‘ibu, kuingat dahulu menyisir rambutku, kemas selalu’,” katanya yang mengharapkan lagu itu dihayati generasi muda.

Meor Hafiz Meor Abdul Rashid mendendangkan ‘intro’ lagu ‘1,2,3,4’ ketika berusia lapan tahun.

Aris juga buat julung kalinya memperkenalkan pemilik suara cilik yang mendendangkan ‘intro’ lagu nostalgia itu, 30 tahun lalu, Meor Hafiz Meor Abdul Rashid, 41.

Adik kepada penyanyi terkenal zaman 90-an, Wann, pelantun lagu ‘Bossanova’, dipilih Aris beberapa jam sebelum masuk ke studio rakaman.

“Saya jumpa Hafiz pada malam itu pertama kali. Hafiz tak pernah dengar lagu itu. Kita terpaksa letak kotak (untuk dia berdiri) sebab pembesar suara sudah paling rendah, tidak boleh rendah lagi.

“Saya beri Hafiz dengar nyanyian saya guna ‘headset’, dia ikut apa yang saya nyanyi dan terus kami rakam,” singkapnya.

Bagi Meor Hafiz, dia tidak menyangka nyanyiannya ketika berusia lapan tahun, masih berkumandang di corong radio hingga kini.

“Waktu itu saya teman kakak (wann) rakam lagu di studio dan ibu tengok ada ramai kanak-kanak dekat studio sebelah tunggu giliran untuk diuji bakat.

“Alhamdulillah saya terpilih. Pakcik Aris kata sesi rakaman berjalan dengan lancar,” katanya.

Sejak menjadi sebahagian daripada lagu itu, Hafiz menerima banyak jemputan menyanyi pada usia begitu muda dan saat ini dia masih aktif menyanyi ‘Buskers’ untuk mencari dana bagi menyiapkan pembinaan sebuah tahfiz di Kajang.

“Kadangkala kata-kata tak boleh nasihatkan orang. Tapi lagu boleh nasihatkan orang,” katanya yang berterima kasih pada Aris memberi peluang kepadanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.