Malaysia, Turki ulangi pendirian terus solidariti bersama Palestin

Malaysia, Turki ulangi pendirian terus solidariti bersama Palestin

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan segera mempertimbangkan rancangan lain bagi menghentikan keganasan Israel di Gaza.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata serangan ganas Israel yang semakin memuncak di bumi Palestin antara topik perbincangan beliau dan Presiden Turki Recep Tayyib Erdogan dalam panggilan telefon semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Isu serangan ganas Israel semakin memuncak di bumi Palestin ketika umat Islam menyambut Ramadan dan Aidilfitri antara topik perbincangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan.

Anwar menerusi hantaran di Facebooknya berkata, perkara itu dibangkitkan dalam panggilan telefon dengan sahabat baiknya petang semalam.

“Serangan sejak 18 Mac lalu telah membatalkan perjanjian gencatan senjata dan menggagalkan usaha damai sedang dirancang.

“Saya menegaskan keperluan segera untuk mempertimbangkan rencana-rencana lain bagi menghentikan keganasan ini. Alhamdulillah, Erdogan mengulangi pendirian tegas untuk terus bersolidariti bersama saudara kita di Palestin.”

Dalam kesempatan itu, Anwar turut menyampaikan ucapan salam Aidilfitri kepada Erdogan dan keluarganya.

Anwar turut menghargai perkembangan hubungan dua hala semakin kukuh, terutama selepas kunjungan Erdogan ke Malaysia tempoh hari.

“Dalam perbualan ini, saya turut menerima jemputan Erdogan untuk berkunjung ke Turki. Semoga persahabatan erat kedua-dua pemimpin negara kian mekar saat ini terus utuh dan membawa manfaat buat rakyat kedua-dua negara, insya Allah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.