Hydroshoppe buat sidang media di Menara KL malam ini

Hydroshoppe buat sidang media di Menara KL malam ini

Hydroshoppe Sdn Bhd dan Menara KL Sdn Bhd mendakwa mereka akan diusir secara paksa oleh polis dan DBKL tengah malam ini.

Minggu lepas, anak syarikat LSH Capital menandatangani perjanjian 20 tahun dengan pesuruhjaya tanah persekutuan untuk menguruskan Menara KL. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Konflik mengenai pengurusan Menara Kuala Lumpur kelihatan semakin genting dengan pengusaha bangunan pencakar langit ikonik itu mendakwa mereka akan diusir secara paksa pada tengah malam ini.

Hydroshoppe Sdn Bhd dan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) berkata, sidang media akan diadakan pada 11 malam di pintu masuk utama Menara KL.

“Berdasarkan makluman yang diterima, kami difahamkan akan berlaku penyalahgunaan kuasa oleh polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengusir kami keluar secara paksa dari tapak Menara KL pada 12 tengah malam ini,” katanya dalam undangan media.

Kedua-dua syarikat itu mendakwa, tindakan pengusiran itu akan menyalahi undang-undang memandangkan kes saman di mahkamah masih berjalan berhubung pemberian konsesi 20 tahun pengurusan menara itu kepada Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital).

FMT telah menghubungi DBKL, polis Dang Wangi, dan Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa untuk mendapatkan komen.

Minggu lepas, anak syarikat LSH Capital, LSH Service Master Sdn Bhd, menandatangani perjanjian pajakan dengan pesuruhjaya tanah persekutuan.

Perjanjian berkuat kuasa esok hingga 31 Mac 2045 itu memberi syarikat itu hak ke atas tanah seluas kira-kira 4ha (10 ekar), termasuk tapak Menara KL, Tower Terrace dan kawasan bersebelahannya.

Hydroshoppe dan MKLSB memfailkan saman untuk mencabar pemberian konsesi itu, menuntut ganti rugi RM20.13 juta dan konsesi dipindahkan kepada mereka.

Mereka mendakwa, terdapat ‘persefahaman’ sedia ada berkaitan pengurusan menara itu, dan LSH Capital ‘mencetuskan pelanggaran’ kontrak yang telah mereka persetujui dengan Putrajaya pada Ogos 2022.

LSH Capital berkata, pihaknya tidak maklum tentang sebarang perjanjian atau perbincangan terdahulu antara kerajaan dengan Hydroshoppe dan MKLSB.

Katanya, pihaknya juga akan mempertahankan saman itu dan terus memenuhi kewajipannya mengikut perjanjian 20 tahun itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.