Aidilfitri untuk semua di Pulau Ketam

Aidilfitri untuk semua di Pulau Ketam

Sekumpulan kecil umat Islam yang tinggal di pulau ini gembira menyambut hari raya bersama ramai jiran Cina.

Sebilangan kecil umat Islam hidup bersama secara aman dengan penduduk Pulau Ketam yang kebanyakannya berbangsa Cina. (Afizi Ismail @ FMT Lifestyle)
KLANG:
Setiap tahun sejak 2017, sebuah pusat pembelajaran dikenali sebagai Maahad Tahfiz Mandarin Pulau Ketam menganjurkan perhimpunan besar Hari Raya Aidilfitri, menjemput komuniti yang kebanyakannya berbangsa Cina di pulau itu turut serta.

Terletak berhampiran Pelabuhan Klang, Pulau Ketam hanya boleh diakses dengan feri atau bot laju. Pulau menarik itu dihiasi dengan rumah dibina di atas tiang, manakala basikal menggantikan kereta sebagai pengangkutan utama.

Walaupun masa seolah-olah terhenti di sini, ia menyentuh hati apabila melihat bagaimana penduduk pelbagai kaum hidup harmoni antara satu sama lain.

“Objektif sambutan raya adalah untuk merapatkan hubungan kita bersama…tidak mahu wujud jurang antara kita,” kata Sumaiyah Mohammad, pegawai pentadbiran pusat tahfiz itu.

Hanya sekali sahaja perhimpunan itu dibatalkan iaitu pada 2020 dan 2021 akibat pandemik. Diadakan menjelang akhir Syawal, bilangan tetamu Cina meningkat setiap tahun.

Penduduk Islam pulau itu solat berjemaah di Balai Islam Pulau Ketam. (Afizi Ismail @ FMT Lifestyle)

Baginya, ia adalah kegembiraan apabila dapat melihat masyarakat berkumpul untuk acara itu, tanpa mengira bangsa atau agama, dan menikmati hidangan kegemaran raya seperti rendang, lemang dan ketupat

“Suasananya meriah, seperti menyambut hari raya pertama bersama keluarga,” kata wanita berusia 20 tahun itu.

Pusat tahfiz yang menawarkan kelas al-Quran, Fardu Ain dan Mandarin itu ditubuhkan pada akhir 2016. Ia diasaskan oleh bapa Sumaiyah, Mohammad Ibrahim, yang dikenali dalam kalangan masyarakat sebagai Ustaz Mad China.

Terdapat juga balai Islam di pulau itu, tempat umat Islam berkumpul untuk solat. Setiap malam pada bulan Ramadan, pelajar pusat tahfiz berjalan ke lokasi itu untuk menunaikan solat isyak dan tarawih.

Siti Ariana Mohd Nazim, pelajar pusat tahfiz yang berpindah ke pulau itu pada Februari berkata, dia paling menikmati ketenangan pulau berkenaan.

Siti Ariana Mohd Nazim adalah pelajar Maahad Tahfiz Mandarin Pulau Ketam sejak Februari. (Afizi Ismail @ FMT Lifestyle)

Walaupun masih baru di tempat itu, dia berusaha untuk berhubung dengan penduduk, malah menyapa dalam bahasa Mandarin.

“Ada yang terkejut kerana saya boleh berbahasa Cina,” kata remaja berusia 12 tahun itu sambil tersenyum, dengan menambah: “Kadang-kadang, saya menawarkan untuk membawa beg atau barangan untuk mereka.”

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Pulau Ketam, Cha Keng Lee,  dianggarkan seramai 6,000 orang mendiami pulau itu.

Hanya kira-kira 50 orang Islam dalam kalangan mereka termasuk pelajar dan kakitangan pusat tahfiz itu yang bukan berasal dari pulau itu tetapi kini menetap di situ.

Terdapat juga sebilangan kecil orang Cina Muslim.

“Pada 1970-an, terdapat lebih 26,000 orang di Pulau Ketam,” dedah Cha. “Pada masa itu, seorang lelaki bernama Encik Ng, yang beragama Islam, menggalakkan nelayan di sini memeluk Islam.”

Hanya kira-kira 50 masyarakat Islam tinggal di Pulau Ketam yang dianggarkan mempunyai penduduk seramai 6,000 orang. (Afizi Ismail @ FMT Lifestyle)

Bagaimanapun, jumlah orang Cina Muslim berkurangan kerana ramai yang meninggal dunia atau berpindah. Cha menganggarkan kurang daripada 10 yang kekal di pulau itu.

Menggambarkan hubungan antara orang Cina dan Melayu di situ, lelaki berusia 61 tahun itu menambah: “Mereka adalah orang yang baik dan kami tidak mempunyai masalah antara satu sama lain.”

Sumaiyah pula berkata: “Apabila kami menyapa orang tua, mereka gembira melihat kami. Apabila kami mengunjungi kedai mereka, mereka menyambut kami dengan mesra. Beberapa pelajar kami yang lebih mesra malah menyapa penduduk dalam bahasa Mandarin.”

Sejak tinggal dalam kalangan masyarakat Cina, Sumaiyah berkata dia kini memahami apa yang menjadikan mereka unik, termasuk cara berdoa serta menyambut perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Chap Goh Mei.

Sumaiyah Mohammad percaya menghormati agama satu sama lain adalah kunci. (Afizi Ismail @ FMT Lifestyle)

Dia juga mengagumi ikatan kekeluargaan mereka yang kuat.

“Kebersamaan keluarga adalah penting bagi orang Cina. Semasa cuti mereka melawat ibu bapa, walaupun hanya untuk sehari. Mereka memastikan untuk makan bersama.”

Baginya, menghormati orang lain termasuk perbezaan kepercayaan, pendapat atau cara hidup. “Itu penting. Itulah cara kita memupuk keharmonian antara kaum.”

“Jika kita hidup dengan saling memahami dan menghormati kepercayaan antara satu sama lain, hidup lebih harmoni,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.