
Di ibu negara, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua diiringi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut hadir Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul, Menteri Pertahanan Khaled Nordin, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.
Solat sunat Aidilfitri itu diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan, Luqman Abdullah.
Ini kali pertama Sultan Ibrahim menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan selepas melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan 2024.
Khutbah Aidilfitri bertajuk “Berdamai dalam Dakapan Syawal” yang disampaikan Luqman antaranya menyeru umat Islam memanfaatkan keberkatan Aidilfitri dalam memperbaiki hubungan persaudaraan sesama anggota masyarakat.
Beliau dipetik Bernama berkata, Aidilfitri juga perlu dijadikan medan meneruskan nilai mulia dalam kehidupan seharian serta membudayakan sifat berlapang dada dan saling bermaafan.
Di Perlis, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 2,000 jemaah di Dataran Istiadat Istana Arau yang diimamkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, anakanda baginda berdua, selain Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli.
Di Kedah, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Zahir bermula 9 pagi dan diimamkan Imam Besar Masjid Zahir, Sheikh Mohd Naim Ahmad.
Turut hadir Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor bersama barisan exco negeri dan lebih 2,000 jemaah.
Di Pulau Pinang, Yang Dipertua Negeri, Ahmad Fuzi Abdul Razak menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 7,000 umat Islam di Masjid Negeri Pulau Pinang.
Di Perak, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 2,000 jemaah di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.
Selesai menunaikan solat sunat, baginda menziarahi makam ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah di Makam Diraja.
Di Selangor, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat menyertai lebih 3,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong di Shah Alam.
Di Putrajaya, ribuan jemaah berkumpul di Masjid Putra seawal 7.30 pagi untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri diimamkan Imam Besar Masjid Putra, Muhamad Zakuwa Rodzali.
Di Negeri Sembilan, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berangkat tiba di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Kuala Pilah pada 8.30 pagi bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 1,500 jemaah.
Di Johor, pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Sultan Abu Bakar yang diimamkan Imam Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Makhadzir Abdan bersama lebih 2,000 jemaah.
Di Pahang, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.
Di Terengganu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 2,000 jemaah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah.
Di Sarawak, Yang Dipertua Negeri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier, Abang Johari Openg menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek, Petra Jaya.
Di Sabah, Yang Dipertua Negeri, Musa Aman dan Toh Puan Faridah Tussin menyertai kira-kira 7,000 umat Islam di sekitar Kota Kinabalu menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Sabah.