Polis tahan lelaki tumbuk pemandu wanita di Senawang

Polis tahan lelaki tumbuk pemandu wanita di Senawang

Ketua Polis Seremban Mohamad Hatta Che Din berkata, lelaki itu ditahan ketika dipanggil untuk memberi keterangan.

tumbuk perempuan langgar anak
Video tular di TikTok menunjukkan seorang lelaki menyerang pemandu wanita yang masih berada dalam kereta sebelum menumbuknya dua kali.
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki menumbuk pemandu wanita selepas berang anaknya dilanggar ketika melintas jalan berhampiran bazar Aidilfitri Dataran Senawang malam tadi.

Ketua Polis Seremban Mohamad Hatta Che Din berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan ketika dipanggil ke IPD Seremban untuk memberi keterangan, lapor Sinar Harian.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kerosakan.

Hatta berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.15 malam tadi membabitkan Perodua Axia dipandu wanita berusia 28 tahun dengan dua pejalan kaki iaitu seorang wanita berusia 34 tahun dan anak perempuannya berusia 7 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Axia itu dalam perjalanan dari Mydin Senawang menghala ke Senawang dan apabila sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba dua pejalan kaki itu melintas jalan.

“Akibat jarak yang sudah dekat, pemandu Perodua Axia tidak sempat mengelak lalu melanggar pejalan kaki tersebut.

“Pada masa yang sama anggota tentera didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap pemandu kereta berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan pemandu wanita mengalami lebam di bahagian rusuk sebelah kanan dan bengkak di bahagian belakang kepala selain kereta juga mengalami kerosakan.

Katanya, kes itu turut disiasat di bawah Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.

Terdahulu, tular video di TikTok menunjukkan lelaki terbabit menyerang wanita memandu Perodua Axia yang masih berada dalam kereta sebelum menumbuk mangsa dua kali.

Adik mangsa mendakwa, kakaknya secara tidak sengaja melanggar kanak-kanak itu disebabkan penglihatan terhad ekoran terhalang kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.