PM, isteri pesan agar Zaimuddin ‘sabar, serah insiden disiasat pihak berkuasa’

PM, isteri pesan agar Zaimuddin ‘sabar, serah insiden disiasat pihak berkuasa’

Pesanan disampaikan kepada penjaja belon itu oleh setiausaha politik kepada perdana menteri, Azman Abidin.

penjaja belon
Penjaja belon, Muhamad Zaimuddin Azlan, 28, akui tidak ada lesen berniaga, selain takut dengan penguat kuasa DBKL.
PETALING JAYA:
Nasib menimpa penjaja belon, Muhamad Zaimuddin Azlan, turut mendapat simpati Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Setiausaha Politik kepada perdana menteri, Azman Abidin, turut menyampai pesanan kepada Zaimuddin, 28, ketika ketua PKR Wilayah Persekutuan itu berkunjung menemuinya di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Katanya, perdana menteri menasihati Zaimuddin supaya ‘bersabar dan menyerahkan insiden menimpanya untuk disiasat pihak berkuasa’.

Zaimuddin dalam rakaman video dilihat bergelut dengan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan dirinya tular di media sosial, termasuk mendapat reaksi pelbagai dari orang ramai.

DBKL dalam kenyataan sebelum ini, berkata insiden itu berlaku susulan penjaja berkenaan enggan memberi kerjasama mematuhi arahan penguat kuasa, selain didakwa bertindak agresif terhadap anggota bertugas.

Hari ini, penjaja belon itu nafi dia diberi amaran tiga kali oleh penguat kuasa. Katanya, dia sendiri ‘takut’ dengan penguat kuasa dan khuatir barang dijual akan dirampas.

Dia juga mengakui berniaga tanpa lesen, selain tidak tahu prosedur untuk mendapatkan lesen.

Dalam pada itu, Azman memberi jaminan Zaimuddin akan diberi bimbingan dan sokongan untuk mendapatkan lesen penjaja selepas dia pulih kelak, mengambil kira dia tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Kita dah bagi jaminan bahawa selepas pulih, dia boleh jumpa saya untuk kita (PKR Wilayah Persekutuan) bantu mendapatkan lesen penjaja,” katanya menurut Bernama selepas menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada penjaja itu.

Beliau turut bersimpati dengan keadaan mangsa, namun mengingatkan golongan penjaja mahupun anggota penguat kuasa beroperasi dan menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang ditetapkan.

“Cuma kebanyakan peniaga ‘rambo’ ini, mereka tidak tahu cara mohon (lesen), sebab itu kita kena bekerjasama dengan persatuan penjaja atau lain-lain NGO untuk bantu mereka yang menjaja ini termasuk DBKL, (untuk) bagaimana permudahkan mereka dapatkan lesen, tapi mesti di kawasan sesuai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.