Malaysia salur RM10 juta bantuan kemanusiaan kepada Myanmar

Malaysia salur RM10 juta bantuan kemanusiaan kepada Myanmar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut arah Menteri Luar Mohamad Hasan ketua misi kemanusiaan ke negara itu.

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan negara anggota Asean bagi selaras bantuan kepada mangsa yang sehingga kini telah mengorbankan 2,000 nyawa. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia memutuskan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan RM10 juta sebagai permulaan bagi membantu rakyat Myanmar terkesan kejadian gempa bumi.

Beliau berkata, sebagai manifestasi tanggungjawab dan solidariti Malaysia selaku pengerusi Asean 2025, beliau turut telah mengarahkan Menteri Luar Mohamad Hasan mengetuai misi kemanusiaan ke negara itu, minggu hadapan.

“Lawatan ini bertujuan menyatakan sokongan padu Malaysia terhadap operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang giat dijalankan, termasuk oleh pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang telah memulakan penugasan di lapangan bermula hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Seramai 50 anggota dan pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di bawah Nadma berlepas ke Naypyidaw, Myanmar pagi ini bagi misi kemanusiaan serta membantu operasi SAR mangsa gempa bumi di negara itu.

Anwar berkata, semangat kebersamaan dan tindakan kolektif dalam kalangan negara anggota Asean amat penting dalam menangani situasi kemanusiaan seperti ini.

“Keutamaan Asean memelihara kesejahteraan rakyat serantau harus diterjemahkan menerusi tindakan yang cepat, berkesan, dan bersifat menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia akan terus berunding dan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan Asean bagi menyelaras bantuan diperlukan Myanmar serta memastikan setiap usaha digerakkan memberi impak bermakna kepada mangsa.

“Malaysia kekal komited untuk memperkukuh perpaduan serantau dan memacu agenda kemanusiaan Asean yang berteraskan nilai kasih sayang, tanggungjawab bersama, dan solidariti,” katanya.

Gempa bumi dengan magnitud 7.7 melanda negara Asia Tenggara itu Jumaat lalu, dengan Mandalay, Bago, Magway, timur laut negeri Shan, Sagaing dan Naypyidaw antara kawasan yang paling teruk terjejas selain turut menjejaskan negara jiran Thailand.

Sehingga semalam, jumlah korban bencana itu di Myanmar mencecah hampir 2,000, selain ribuan cedera dan ratusan lagi masih hilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.