Lelaki tumbuk pemandu wanita langgar anak melintas

Lelaki tumbuk pemandu wanita langgar anak melintas

Adik wanita itu dakwa kakaknya tidak sengaja melanggar kanak-kanak berkenaan disebabkan penglihatan terhad.

Video tular di TikTok menunjukkan seorang lelaki menyerang pemandu wanita yang masih berada dalam kereta sebelum menumbuknya dua kali.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki menumbuk muka pemandu wanita selepas berang anaknya dilanggar ketika melintas jalan di bazar Aidilfitri Dataran Senawang, malam tadi.

Video kejadian itu tular di TikTok menunjukkan lelaki terbabit menyerang wanita memandu Perodua Axia yang masih berada dalam kereta sebelum menumbuk mangsa dua kali.

Adik mangsa mendakwa, kakaknya secara tidak sengaja melanggar kanak-kanak itu disebabkan penglihatan terhad ekoran terhalang kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapannya.

“Kakak saya baru keluar simpang bazar dan dia bawa perlahan saja dalam 20 ke 30 km/j dan ada kereta Perodua Aruz di depannya, saiznya besar telah halang pemanduan.

“Keluarga itu sedang melintas tapi lelaki itu di belakang manakala anak-anak dan isteri di depan. Langgar pun perlahan saja sebab kereta tak pandu laju,” katanya dikongsikan di media sosial, menurut Sinar Harian.

Katanya, selepas insiden itu, belum sempat keluar dari kereta kakaknya terus diserang lelaki terbabit.

“Kakak kemudian buka pintu tapi lelaki itu terus kepak sampai rosak pintu dan kunci kereta. Kemudian dia tumbuk kepala kakak saya.

“Kakak saya terus minta maaf tapi mungkin dia tak boleh terima jadi dia tumbuk kali kedua,” katanya.

Adik mangsa memaklumkan, laporan polis dibuat selepas kejadian selain mendakwa kakaknya turut ditendang di bahagian perut.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan polis akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian dalam masa terdekat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau terbabit dalam insiden membuat laporan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.