Balik beraya, bayi 6 bulan antara 2 maut di Telupid

Balik beraya, bayi 6 bulan antara 2 maut di Telupid

Tujuh sekeluarga kemalangan dengan lima daripada mereka cedera ringan.

Ketua Balai Bomba Beluran Edoen Macheal, berkata enam daripada mangsa terlebih dulu berjaya dibawa keluar orang awam memandangkan kejadian berlaku 100km dari balai Beluran. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Bayi enam bulan antara dua maut dalam nahas kereta ketika dalam perjalanan balik kampung, dalam kejadian di hadapan Klinik Kesihatan Telupid, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba Beluran Edoen Macheal, berkata enam anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 100km dari balai Beluran itu selepas pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.28 pagi.

“Empat dewasa, dua kanak-kanak, dan seorang lagi bayi terlibat dalam kejadian. Enam berjaya dibawa keluar daripada kereta itu oleh orang awam dan dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, bayi berusia enam bulan bersama seorang lagi individu yang belum diketahui identiti disahkan meninggal dunia, manakala lima lagi mengalami cedera ringan.

Operasi kemudian ditamatkan pada 8.30 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

Difahamkan, semua tujuh sekeluarga itu dalam perjalanan pulang dari Labuan ke Semporna untuk berhari raya semasa kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.